Guru buat laporan polis mainan dari China ada kalimah Allah
PARIT BUNTAR, 5 Ramadan 1438H, Rabu – Terkejut melihat alat permainan mengandungi kalimah Allah, seorang guru mengambil tindakan segera dengan membuat laporan polis.
Pengadu, Mahnun Mat Isa, 40, berkata, dia mendapati terdapat kalimah Allah dan Muhammad yang ditulis dalam bahasa Arab pada alat permainan dibeli kepada anaknya yang dilekatkan pada bendera dipegang watak ‘pengganas’.
Beliau menjelaskan, watak pengganas yang dilabelkan pada kotak alat permainan itu turut menampakkan watak lelaki memakai kopiah yang kebiasaannya merujuk kepada orang Islam.
“Saya kemudian melaporkan perkara itu kepada polis dan pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIPk) cawangan Parit Buntar pada 25 Mei lalu untuk tindakan lanjut,” katanya yang dipetik daripada akhbar tempatan.
Kesal dengan perkara itu, Mahnun berkata, pihaknya berharap pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Agama Islam Perak akan menyiasat perkara ini dan menarik balik semua alat permainan jenis itu dari pasaran dengan segera.
Katanya, dia dan suami mendapati alat permainan kanak-kanak itu dihasilkan di China sebelum diedar di negara ini menerusi sebuah syarikat tempatan di Ipoh.
“Saya minta pihak berwajib tidak sewenang-wenangnya membenarkan kemasukan sebarang alat permainan kanak-kanak yang menyentuh sensitiviti agama di negara ini,” katanya.
The post Guru buat laporan polis mainan dari China ada kalimah Allah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan