Jabatan Imigresen buru pelajar berstatus PATI


KUALA LUMPUR, 17 Syaaban 1438H, Ahad – Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali memaklumkan, pihaknya akan menjalankan gerakan besar-besaran bagi memburu ribuan pelajar asing berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) yang enggan pulang ke negara asal meskipun sudah menamatkan pengajian di negara ini.

Beliau berkata, gerakan kritikal perlu dilakukan secara serius memandangkan penglibatan golongan PATI dalam kegiatan jenayah seperti dadah, penipuan, samun dan pelacuran di negara ini amat membimbangkan.

“Antara faktor utama menyebabkan golongan pelajar asing berkenaan enggan pulang adalah kerana mereka mudah mencari pekerjaan termasuk gaji ditawarkan di negara ini lebih lumayan berbanding di negara asal mereka.

“Malah faktor itu turut dipengaruhi oleh majikan tempatan yang lebih suka menggaji warga asing daripada warga tempatan demi menjimatkan kos tanpa memerlukan proses pengambilan pekerja asing dari luar negara.

“Tetapi apa yang membimbangkan adalah apabila mereka ini menyalahgunakan pas pelajar mahupun yang sudah tamat tempoh untuk menjalankan kegiatan jenayah sehingga memudaratkan kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara ini,” katanya yang dipetik daripada akhbar tempatan.

Susulan itu, Mustafar menyeru penglibatan semua pihak terutama majikan supaya melaporkan jika terdapat pekerja mereka menyalah guna pas pelajar.

Mustafar turut mengingatkan institusi pengajian awam serta swasta perlu memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada pelajar itu layak atau memenuhi syarat-syarat ditetapkan sebelum dianugerahkan diploma, ijazah dan sebagainya.

“Jika mereka berdegil, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak majikan di bawah Akta Imigresen,” katanya.

The post Jabatan Imigresen buru pelajar berstatus PATI appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian