Jambatan Pulau Sekati laluan Losong-Pulau Sekati dibuka hari ini
KUALA TERENGGANU, 3 Ramadan 1438H, Isnin – Orang ramai sudah boleh menggunakan jambatan Pulau Sekati mulai hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, jambatan itu boleh digunakan bagi laluan Losong ke Pulau Sekati.
Manakala bagi laluan Jalan Banggol Tuan Muda ke Jeram Tokong pula, ia dijangka akan dibuka kepada orang ramai pada 19 Jun depan.
“Secara rasmi keseluruhan jambatan akan dibuka pada 19 Jun depan dan dengan adanya kemudahan ini secara tidak langsung kita dapat pastikan masalah kesesakan makin ketara di laluan Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir dapat diatasi.
“Skop bagi laluan Losong ke Pulau Sekati ini membabitkan jambatan sepanjang 1.58 kilometer dan jalan baharu sepanjang 1.8 kilometer, laluan ini sudah siap dan dibuka kepada pengguna hari ini,” katanya.
Pembangunan jambatan merentangi Sungai Terengganu sepanjang kira-kira enam kilometer dengan kos sebanyak RM245 juta yang membabitkan laluan dari Losong ke Pulau Sekati dan Teluk Pasu itu mula dibina pada tahun 2012 namun terencat akibat masalah pengambilan balik tanah yang berlarutan.
Dalam perkembangan sama, beliau meminta orang ramai agar tidak menyalahgunakan manfaat itu termasuk merosakkannya dan bersama-sama menjaga untuk kepentingan bersama.
The post Jambatan Pulau Sekati laluan Losong-Pulau Sekati dibuka hari ini appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan