Jangan seronok sangat dengan duit China, kata Kadir Jasin

 

Penyelidik dan pengulas hal ehwal antarabangsa sudah menganggap Pakistan sebagai tanah jajahan ekonomi China

BANGI, 24 Syaaban 1438H, Ahad – Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin mengingatkan pimpinan kerajaan supaya tidak terlalu gembira berkawan dengan China dan seronok menerima pinjaman serta pelaburan beratus-ratus bilion ringgit.

Katanya, pinjaman dan pelaburan itu bukan sedekah daripada China, sebaliknya ia adalah urusan bersyarat.

“Melihat pengalaman Pakistan itu, kita jangan terlalu seronok menerima pinjaman dan pelaburan beratus bilion ringgit daripada China. Ia bukan derma atau sedekah. Ia adalah urusan yang bersyarat. Silap-silap kita akan jadi hamba ekonomi China.

“Kita jangan sekali-kali cakap besar bahawa kita tidak akan jatuh di bawah pengaruh negara China atau mana-mana kuasa besar. Kalau hal ini boleh berlaku kepada Pakistan, apa jaminan ia tidak boleh berlaku kepada kita. Kita lebih kecil daripada Pakistan dan bukan semua orang kita Islam macam di Pakistan di mana 97 peratus penduduknya Islam.

“Hari ini, pengaruh China paling luas adalah ke atas Pakistan sehingga orang Pakistan sendiri menerima pengaruh China ke atas negara mereka sebagai positif,” katanya, hari ini.

Bekas Ketua Pengarang New Straits Times itu berkata, sejarah membuktikan bahawa Malaysia antara negara terawal mengiktiraf China dan menjalin hubungan diplomatik.

“Kita bukan anti-China atau anti mana-mana negara. Malah kalau kita faham sejarah, kita akan tahu yang negara kita adalah antara yang terawal mengiktiraf China dan jalin perhubungan diplomatik.

“Sebab itulah lebih 40 tahun kita berbaik-baik dan berniaga dengan China. Kita tiada masalah dengan negara gergasi itu sehinggalah dua, tiga tahun kebelakangan ini apabila kita mula jadi terlalu bergantung kepada China.

“Dengan apa yang berlaku, kita tidak boleh tolak bulat-bulat kemungkinan China menjadi negara paling berpengaruh ke atas negara kita sehingga orang kita sendiri anggap China sahabat akrab,” katanya menulis dalam Sinar Harian.

Kadir berkata, Pakistan menerima pelaburan beratus bilion ringgit sejak 1960 hingga sekarang dalam bidang pertahanan, ekonomi dan teknologi, malah menjadi negara pengimport terbesar senjata China.

Katanya, China membiayai dan membina jalan raya, landasan kereta api dan pelabuhan di Pakistan bagi menyambungkan wilayahnya dengan Lautan Hindi.

“Projek-projek itu dilaksanakan di bawah apa yang dikenali sebagai Koridor Ekonomi China-Pakistan yang dianggar menelan belanja AS$54 bilion (kira-kira RM243 bilion).

“Dengan semua ini, tidak hairanlah kalau ada penyelidik dan pengulas hal ehwal antarabangsa yang menganggap Pakistan sebagai tanah jajahan ekonomi China,” katanya.

The post Jangan seronok sangat dengan duit China, kata Kadir Jasin appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian