Konflik dunia Arab untungkan Iran, Israel: Amaran Liga Arab
DUBAI, 5 Syaaban 1438H, Selasa – Ketua Liga Arab, Ahmed Abul Gheit hari ini memberi amaran, bahawa Iran dan Israel adalah pihak yang mendapat manfaat daripada kemelut di seluruh dunia Arab, yang disifatkannya sebagai yang paling teruk pernah dilihatnya.
“Saya tidak pernah melihat keadaan yang paling teruk seperti sekarang. Dan, Iran gembira dengan apa yang berlaku di dunia Arab. Mereka sedang menunggu dan melihat kita memusnahkan diri kita sendiri,” katanya pada Forum Media Arab di sini.
Hubungan antara Iran dan negara Arab semakin tegang sejak kebelakangan ini, apabila Tehran menyokong rejim Presiden Syria, Bashar Al Assad, militan Syiah Houthi di Yaman dan kumpulan bersenjata Syiah di Iraq.
Kebanyakan negara Arab pula menyokong pejuang yang menentang rejim Syria.
Arab Saudi dan sekutunya di kalangan Negara Teluk sejak lebih dua tahun lalu memerangi militan Syiah Houthi, yang menguasai ibu negara Yaman dan pelabuhan strategik di pantai Laut Merah.
Israel juga mendapat manfaat daripada konflik yang berlaku di Timur Tengah,
“Israel berada di bawah tekanan untuk mencari penyelesaian damai dengan Palestin. Jika saya adalah Perdana Menteri, saya akan berfikir apa yang berlaku di dunia Arab sekarang adalah hari paling gembira buat Israel,” kata Abul Gheit.
Rundingan damai yang telah lama terhenti antara Israel dan Palestin dibayangi oleh kebimbangan dunia mengenai perang Syria dan tindakan militan Daesh. – Agensi
The post Konflik dunia Arab untungkan Iran, Israel: Amaran Liga Arab appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan