Lagi lelaki ditahan muat naik kenyataan fitnah
ISKANDAR PUTERI, 5 Syaaban 1438H, Selasa – Seorang lelaki menerima padah apabila memuat naik kenyataan berunsur fitnah dan hasutan dalam laman sosial Facebook (FB) terhadap Menteri Besar Johor dan sebuah syarikat utiliti di negeri itu.
Dia ditahan pasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dan IPD Pontian, kira-kira jam 1.45 pagi tadi di Ayer Baloi, Pontian.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, penahanan suspek adalah susulan laporan diterima pihaknya berkaitan dengan penyalahgunaan laman media sosial itu.
“Susulan penahanan suspek, polis turut merampas sebuah telefon bimbit berserta kad sim bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hashim berkata, polis juga akan memohon reman terhadap suspek di Mahkamah Johor Bahru, pagi ini bagi membolehkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Februari lalu, kes yang sama berlaku apabila seorang remaja berusia 19 tahun ditahan polis selepas dipercayai menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah dalam laman sosial Facebook dengan menggunakan nama “Arif Senai”.
Pada Mac pula, seorang lelaki turut ditahan kerana memuat naik kenyataan jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menerusi laman sosial Facebooknya.
The post Lagi lelaki ditahan muat naik kenyataan fitnah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan