Litar basikal lajak tidak akan dibina: Kerajaan Johor

KOTA ISKANDAR, 17 Syaaban 1438H, Ahad – Kerajaan negeri buat masa ini belum bercadang untuk membina litar basikal lajak kerana banyak perkara perlu diambil perhatian termasuk kesannya terhadap perkembangan remaja di masa hadapan, kata seorang anggota Exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, keputusan juga mengambil kira kewujudan pelbagai pilihan sukan lasak yang boleh disertai golongan terbabit termasuk basikal BMX, skateboard, wall climbing dan flying fox.

“Insfrastukturnya telah disediakan di Pasir Gudang, Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Danga Bay, Tasik Merdeka dan Kompleks Belia dan Sukan, Larkin,” kata beliau ketika menggulung portfolio jawatankuasanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13 di sini hari ini.

Penyediaan litar perlumbaan basikal lajak menjadi perbualan akhir-akhir ini termasuk dalam kalangan wakil rakyat selepas lapan remaja lelaki terbunuh dan lapan lagi cedera dalam kejadian berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam di sini, Februari lepas.

Zulkurnain berkata, pihaknya memang mempunyai tanggungjawab terhadap masa depan rakyat namun ia tidak bermakna kerajaan negeri harus menuruti kehendak mereka, sedangkan langkah itu dilihat boleh memberi lebih banyak kesan negatif pada hari mendatang.

“Kita harus mengkaji kesan dan akibatnya terlebih dahulu sebelum aktiviti ini diiktiraf sebagai satu aktiviti lasak.Kita tidak mahu aktiviti basikal lajak ini akan menjadi asas kepada perlumbaan lumba haram motosikal kepada remaja apabila meningkat usia.

“Kita faham sifat remaja yang kreatif, suka mencuba dan mempunyai keinginan tinggi terhadap sesuatu perkara namun kita juga punya pilihan sama ada mahu memberi galakan ataupun mahu melarang sesuatu aktiviti itu terus menular.

“Kita juga perlu mengambil kira sama ada aktiviti ini akan kekal lama ataupun hanya menjadi trend sementara waktu yang akhirnya akan menyebabkan pembaziran wang kerajaan,” katanya.

Berkenaan isu lain, Zulkurnain berkata, cadangan menubuhkan sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 telah pun diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Satu daripada fokus utamanya ialah menyediakan atlet yang berdaya saing bagi menjadikan Johor sebagai pencabar utama dengan sasaran menduduki kelompok tiga teratas kutipan pingat emas keseluruhan pada temasya itu.

“Antara yang dirancang untuk dilaksanakan ialah program Titanium 20 atau T20 yang memberi tumpuan kepada beberapa acara sukan yang menawarkan pingat yang banyak kepada Johor.

“Dalam program ini, atlet yang berpotensi akan dikenal pasti lebih awal, seterusnya akan mengikuti empat siri latihan yang mempunyai peringkat berbeza iaitu Fasa 1 bermula Jun 2017 hingga Mei 2018; Fasa 2 dari Jun 2018-Mei 2019; Fasa Tiga (Jun 2019-Dis 2019) dan Fasa Empat (Jan 2010 hingga SUKMA 2020,” katanya dan menambah sebagai peringkat awal, program pencarian atlet berpotensi dilaksanakan di peringkat sekolah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri. – Bernama

The post Litar basikal lajak tidak akan dibina: Kerajaan Johor appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian