Mufti Perlis kata GST jika menyebabkan rakyat susah menyalahi Islam, ulama digesa bantah

BANGI, 5 Syaaban 1438H, Selasa – Cukai yang dikutip kerajaan daripada rakyat, jika dikembalikan untuk kepentingan hidup rakyat, maka ia dibolehkan, kata Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Tetapi, katanya, jika kutipan cukai itu sekadar untuk kepentingan beberapa pihak tertentu sahaja sehingga mengorbankan kepentingan rakyat jelata, maka ia jelas menyanggahi Islam.

Mengulas mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sama ada halal atau haram, beliau dalam laman Facebooknya menegaskan bahawa jawapan kepada persoalan itu hendaklah dilihat kepada apakah cukai itu untuk kepentingan rakyat ataupun satu keburukan dan kesusahan kepada rakyat.

“Konsep siyasah dalam Islam secara umum menetapkan تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة (tindakan pemerintah dalam urusan rakyat dibina atas kemaslahatan rakyat). Ini bermaksud urusan pemerintahan itu segala keputusan dan tindakan hendaklah berasaskan kepentingan rakyat yang tidak bercanggah dengan syarak.

“Jika ada tindakan penguasa yang menyanggahi kepentingan rakyat dan negara, sebaliknya sekadar kepentingan beberapa pihak tertentu sahaja sehingga mengorbankan kepentingan rakyat awam maka itu jelas menyanggahi Islam,” katanya.

Semalam, Ketua Penerangan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, PAS konsisten menegaskan bahawa GST adalah haram dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tersilap dalam mengeluarkan fatwa membolehkan cukai itu dikutip, termasuk daripada orang miskin.

PAS juga katanya, melihat bahawa GST gagal menepati syarat, kerana GST adalah cukai berdasarkan perbelanjaan yang turut dikenakan ke atas orang miskin.

PAS konsisten kata GST haram, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tersilap

Dr Mohd Asri berkata, jika ternyata cukai itu mengembalikan faedah kepada rakyat maka rakyat wajib taat dan menyokongnya, tetapi jika zahir daripada cukai itu bebanan ke atas rakyat ataupun penyalahgunaan wang awam yang dikumpulkan, maka ia sesuatu yang mungkar dan hendaklah ulama membantahnya.

“Ada yang bertanya saya tentang hukum GST. Sebelum menjawab persoalan itu hendaklah dikaji apakah GST telah memberikan kemaslahatan kepada rakyat ataupun sebaliknya?

“Mungkin rakyat boleh menjawab terlebih dahulu dan pemerintah menjelaskan sejauh manakah GST benar-benar merealisasikan kemaslahatan rakyat. Apakah GST telah merealisasikan kepentingan rakyat ataupun sebaliknya? Apakah GST itu tanda simpati dan kasih pemerintah kepada rakyat ataupun sebaliknya?,” katanya.

The post Mufti Perlis kata GST jika menyebabkan rakyat susah menyalahi Islam, ulama digesa bantah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?