Pakatan kalah, PAS kalah, BN menang: Tun Dr Mahathir

Perjuangan PAS bukan untuk agama dan bangsa tetapi melemahkan politik Melayu

Oleh Razali bin Zakaria

BANGI, 19 Syaaban 1438H, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penyertaan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan menghakis sokongan terhadap parti Islam itu dan Pakatan Harapan, sekali gus memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

Demikianlah, kata bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu, perjuangan sebenar PAS bukan untuk agama dan bangsa, sebaliknya bertujuan melemahkan politik dan orang Melayu.

Beliau yang juga penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah menjangkakan bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, sebuah parti Melayu Islam dan pribumi.

“Sama ada PAS akan adakan kerjasama dengan UMNO atau tidak, penyertaan PAS dalam PRU 14 tetap akan menghakis sokongan kepada Pakatan Harapan dan kepada PAS sendiri.

“Pakatan Harapan dan PAS akan kalah dan Barisan Nasional akan menang. Inilah sebenarnya perjuangan PAS. Ia bukan untuk bangsa dan agama. Ia bertujuan melemahkan orang Melayu,” katanya dalam blog beliau, hari ini.

Beliau berkata, ketika UMNO ditubuh, semua orang Melayu selain daripada ahli Malay Nasional Party (MNP) menyertai parti itu, termasuk orang yang berpelajaran agama yang dikenali sebagai ulama UMNO.

“Sehingga penubuhan Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu atau nama Inggerisnya United Malays National Organisation atau UMNO, tidak ada pertubuhan yang diiktiraf sebagai parti politik orang Melayu.

“Kesatuan Melayu Muda dan Parti Kebangsaan Melayu bukanlah parti politik tetapi hanyalah kumpulan-kumpulan kecil intelek Melayu yang memberi perhatian kepada beberapa masalah yang dihadapi oleh orang Melayu. Mereka bukan gerakan massa yang memiliki ideologi tertentu dan berusaha untuk mempengaruhi sistem pemerintahan Tanah Melayu. Mereka juga tidak memberontak melawan penjajah.

“Sebaliknya UMNO ditubuh khusus untuk menentang cadangan British merampas Semenanjung Tanah Melayu untuk menjadikannya tanah takhluk yang diperintah secara langsung oleh mereka. Demikianlah kuatnya tentangan orang Melayu melalui UMNO sehingga British terpaksa akur kepada kehendak UMNO dan membatalkan Malayan Union,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata, demikianlah kehormatan British kepada UMNO sehingga Tunku Abdul Rahman, sebagai Yang diPertua UMNO diberi hak untuk melantik beberapa ahli dalam Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council) dan juga dalam Dewan Negeri.

“Tunku memilih individu yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran. Kebanyakannya berpelajaran Inggeris. Hanya beberapa orang sahaja dari ulama-ulama UMNO dipilih oleh Tunku.

“Di waktu ini ramai dari ulama UMNO pilih untuk keluar UMNO dan menubuh PMIP (Pan Malayan Islamic Party). Dengan kononnya PMIP akan perjuang Islam ramailah ahli dan penyokong UMNO terpikat. Dalam PRU untuk 52 dari 98 kerusi pada 1955, PMIP menang hanya 1 kerusi. 51 kerusi dimenangi oleh Perikatan (UMNO, MCA dan MIC),” katanya.

Beliau berkata, dalam PRU 1959, yang pertama selepas merdeka, PMIP memperalatkan agama Islam sepenuhnya.

“Orang UMNO dikafirkan kononnya kerana bekerjasama dengan orang kafir MCA dan MIC. Ramai orang Melayu terpengaruh dengan dakwaan ini sehingga ada yang mengkafir ibu bapa mereka, dan ada yang berkahwin semula kerana perkahwinan mereka sebelum menjadi ahli PAS tidak sah dan anak mereka menjadi anak haram.

“Tetapi PAS hanya menang 13 kerusi Parlimen tahun 1959 dari 104 yang dipertandingkan. Walaubagaimanapun PAS tawan Kelantan dan Terengganu. Sejurus selepas pilihan raya perpecahan berlaku dalam Kerajaan PAS di Terengganu dan ianya jatuh, diganti dengan Kerajaan Perikatan.

“Pada 1964 dan 1969 prestasi PAS merosot dengan memperoleh hanya 9 kerusi pada 1964 dan 12 kerusi pada 1969. Selepas rusuhan kaum 1969, PAS menyertai Barisan Nasional dan memenangi 14 kerusi,” katanya.

Bekas Perdana Menteri berkata, perpecahan berlaku dalam PAS dan mereka keluar daripada BN, sehingga prestasi parti itu pada 1978, 1982 dan 1986 menurun, dengan memenangi lima kerusi pada 1978, lima kerusi (1982) dan hanya satu pada 1986.

Katanya, apabila Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46, PAS menjalin pakatan dengannya dan pada PRU 1990 dan 1995, PAS memenangi tujuh kerusi.

“Pada tahun 1999 PAS menyertai Barisan Alternatif bersama dengan Parti Keadilan Rakyat dan Parti DAP. Ulama PAS bekerja keras untuk menghalalkan kerjasama dengan parti kafir DAP. Mereka mengeluarkan sebuah kertas bertajuk Tahaluf Siyasi.

“Penggunaan bahasa Arab jelas bertujuan untuk menunjuk kerjasama PAS dengan parti kafir DAP diterima oleh agama Islam. Ayat-ayat diceduk dari Al-Quran yang kononnya mengizinkan kerjasama PAS dengan kafir walaupun berlawanan dengan dakwaan PAS dahulu bahawa orang UMNO menjadi kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir MCA dan MIC,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata, tahaluf siyasi hanya bermakna bekerjasama (pakatan) politik dalam bahasa Melayu atau political cooperation dalam bahasa Inggeris, manakala ayat-ayat al-Quran yang disebut dalam kertas tahaluf siyasi itu tidak menentukan kerjasama politik seperti itu halal atau tidak.

“Semasa PAS berada dalam Barisan Nasional dalam PRU 1974 ia juga bekerjasama dengan orang UMNO yang telah dikafirkan dan ramai parti-parti anggota BN yang dimiliki dan disertai oleh orang kafir. Yang menjadi kenyataan ialah di masa PAS bekerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif (PKR, PAS, DAP) kemenangan PAS bertambah kepada 27 pada 1999,” katanya.

Bagaimanapun, pada tahun 2004 apabila DAP tidak menyertai Barisan Alternatif, PAS memperoleh hanya tujuh kerusi.

“Kemudian pada 2008 dan 2013, apabila Pakatan Alternatif dijadikan Pakatan Rakyat dan DAP kembali menyertainya prestasi PAS meningkat semula. Pada tahun 2008 PAS memenangi 23 kerusi dan pada 2013, 21 kerusi.

“Yang jelas dari rekod ini ialah pencapaian PAS merosot teruk apabila bersendirian, tetapi sebaliknya apabila berpakat dengan DAP, pada 1999, 2008 dan 2013 PAS mendapat kemenangan tertinggi iaitu 27 pada 1999, 23 kerusi pada 2008 dan 21 kerusi pada 2013. Semua ini adalah kenyataan yang benar dari rekod rasmi,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata, al-Quran melarang mengkafir orang Islam dan sesiapa yang membuat dakwaan ini tanpa soal selidik ke atas beribu-ribu orang Islam, orang yang mengucap dua kalimah syahadah, maka kafir itu akan kembali kepadanya.

“Benarlah apa yang disebut dalam al-Quran apabila PAS bekerjasama dengan kafir DAP dan lain-lain orang kafir. Mengikut fahaman ajaran Islam oleh PAS, ahli parti itu sudah jadi kafir. Membaca sejarah benar ini tidak akan mengubah pendirian orang PAS. Mereka begitu taksub dengan pemimpin dan parti mereka sehingga dakwaan Nik Aziz bahawa Tuhan mencarut pun diterima baik oleh mereka.

“Mereka dipercayai membaiah kepada parti dan pemimpin mereka. Bai’ah ini mengikat mereka sehingga mereka sanggup membelakangkan Islam dan al-Quran. Bahawa al-Quran melarang berpakat untuk membuat jahat, dan sebaliknya berpakat hanya untuk amal ma’aruf tidak sedikit pun dipedulikan oleh PAS dan pemimpinnya.

Sekarang, kata Tun Dr Mahathir, PAS akan bertanding, kononnya untuk melawan UMNO, tetapi sebenarnya untuk memberi kemenangan kepada UMNO.

“Sama ada dedak terlibat atau tidak Wallahu A’lam. Allah Subhanahu Wata’ala Maha Mengetahui. Kita manusia cuma boleh teka. Yang jelas ialah apa yang baik datangnya dari Allah Subhanahu Wataala. Keburukan datang daripada kita sendiri. Terpulanglah kepada ahli PAS sama ada mengikut ajaran Islam atau terus membai’ah dan taksub kepada parti dan pemimpinnya yang berjuang untuk nafsu di dunia,” katanya.

The post Pakatan kalah, PAS kalah, BN menang: Tun Dr Mahathir appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian