PAS selar SPRM enggan bertindak terhadap ahli politik

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 26 Syaaban 1438H, Selasa – PAS menyelar penjelasan Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad berhubung sebab agensi berkenaan belum bertindak terhadap mana-mana ahli politik yang terlibat salah laku berbanding pegawai kerajaan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penjelasan Dzulkifli berhubung perkara itu kerana tidak mahu SPRM dijadikan alat dan modal untuk berkempen oleh mana-mana parti adalah sangat dangkal.

Malah beliau menyifatkan kenyataan Dzulkifli itu menunjukkan agensi anti rasuah berkenaan sebagai tidak bebas dan berlaku adil kepada rakyat Malaysia.

“Sekiranya polis juga mengambil pendirian yang sama, apakah ahli-ahli politik sekarang kini boleh dikira kebal untuk melakukan sebarang jenayah sebab institusi-institusi penguatkuasaan tidak berani mengambil tindakan terhadap mereka semata-mata tidak mahu dituduh sebagai alat politik?

“Jika begitu piawainya, bagaimanakah SPRM menentukan bila ia akan menangguhkan tindakannya terhadap ahli-ahli politik sedangkan tiada siapa yang tahu bila PRU akan diadakan?

“Apakah ia 6 bulan sebelum PRU, 12 bulan sebelum PRU atau ikut suka-suka pesuruhjaya atau ia menurut arahan kerajaan yang berkuasa?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim mempersoalkan, apakah pendirian itu akan berterusan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang yang dijadualkan pada tahun 2023.

“Bila SPRM akan berhenti bertindak terhadap ahli-ahli politik bermula? Apakah tahun 2022?

“Datuk Dzulkifli perlu faham bahawa SPRM akan dituduh bermain politik dan menjadi alat politik kerana ia dilihat tidak mampu bertindak adil.

“Para pegawai kerajaan turut terasa kerana mereka yang terlibat dengan kes 1MDB dan SRC International yang dibongkar jauh sebelum PRU diadakan masih belum diheret ke mahkamah,” katanya.

Justeru katanya, PAS menggesa SPRM meneruskan kerja tanpa sebarang pengecualian dan mengheret sesiapa sahaja termasuk ahli politik yang terlibat rasuah ke muka pengadilan.

“Rakyat boleh bersetuju jika SPRM hanya berhenti bertindak terhadap ahli-ahli politik ketika waktu kempen pilihan raya, dan bukannya tetiba diumumkan tindakan terhadap ahli-ahli politik ditangguh kerana PRU dah semakin dekat sedangkan mungkin PM sendiri pun tidak pasti bila PRU akan diadakan,” katanya.

The post PAS selar SPRM enggan bertindak terhadap ahli politik appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian