Pelajar 15 tahun peserta termuda tilawah antarabangsa ke-59
KUALA LUMPUR, 19 Syaaban 1438H, Selasa – Usia belasan tahun bukan penghalang bagi wakil Mesir, Taha Ezat Basyony Awad Ibrahim menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-59 apabila menjadi peserta paling muda tahun ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Taha Ezat, 15, merupakan peserta pertama daripada enam peserta yang memperdengarkan bacaan suci ayat al-Quran malam Isnin dalam majlis yang berlangsung sehingga Sabtu ini.
Berkomunikasi melalui penterjemah tempatan daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Taha Ezat yang merupakan anak kedua daripada dua beradik itu berkata beliau mula menghafaz al-Quran ketika berusia enam tahun bersama kakaknya.
“Saya berasa amat gemuruh pada awal bacaan namun semuanya terkawal seperti biasa kerana ini bukan pertama kali saya menyertai pertandingan seumpama ini.
Taha Ezat menjadikan bapanya, imam sebuah madrasah sebagai idola dalam impiannya bergelar tahfiz dan lantaran itu beliau berharap dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Saya bercita-cita menjadi seorang guru agama dan penghafaz al-Quran pada masa hadapan, maka untuk merealisasikan cita-cita saya sedang melanjutkan pelajaran di Madrasah Al-Azhar di Kaherah, Mesir,” katanya.
Di majlis itu juga, hadirin dipersembahkan dengan penampilan istimewa bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh qari jemputan Muhammad Qayyim Nizar Sarimi,18, dari Kota Bahru, Kelantan yang membuka tirai hari pertama majlis tersebut.
Beliau yang cacat penglihatan dan membaca menggunakan al-Quran Braille, merupakan johan tilawah peringkat negeri berkenaan tahun ini dan juga memenangi tempat ketiga peringkat kebangsaan di Melaka, bulan lepas.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum dan timbalannya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha.
Bagi kategori Tilawah al-Quran, Malaysia akan diwakili johan qari dan qariah kebangsaan iaitu Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dari Kuala Lumpur dan Normalina Alias dari Negeri Sembilan.
Bagi kategori Hafazan al-Quran pula, Malaysia akan diwakili Mohamad Syazani Jemy dari Johor dan Nur Amalina Azharuddin dari Melaka.
Penilaian tilawah itu, yang bertemakan ””Ukhwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah”, akan diadili 15 hakim profesional dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Indonesia.
Seramai 89 peserta menyertai MTHQA ini membabitkan 33 orang daripada kategori hafazan dan 56 dalam kategori tilawah dari 55 negara termasuk Malaysia. – Bernama
The post Pelajar 15 tahun peserta termuda tilawah antarabangsa ke-59 appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan