Penjawat awam berisiko muflis, gagal urus hutang akan disiasat

JASIN, 7 Syaaban 1438H, Khamis – Penjawat awam yang berdepan risiko menjadi muflis berikutan kegagalan mereka menguruskan hutang pinjaman akan disiasat, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Beliau berkata, ini kerana isu berkenaan dilihat semakin meruncing berikutan terdapat penjawat awam yang bertindak berani dengan memalsukan slip gaji ketika membuat pinjaman hingga melebihi kemampuan mereka.

Katanya, sehingga kini terdapat lebih 49,000 penjawat awam terbabit yang didapati melakukan pinjaman peribadi melebihi kemampuan gaji mereka daripada institusi kewangan yang dikenal pasti.

“Adakalanya ‘kebijaksanaan’ penjawat awam itu sendiri mungkin atas desakan (hidup) hingga membuatkan mereka tidak dapat berfikir secara positif (rasional),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bernama pada 30 April lepas melaporkan setakat ini lebih 3,000 orang penjawat awam telah diisytiharkan muflis dan dikhuatiri jumlah itu akan terus meningkat jika tidak dibendung.

Sementara itu, Zainal Rahim berkata, dengan kebergantungan masyarakat terhadap teknologi semakin meningkat, penjawat awam diminta agar lebih berhati-hati dalam mengenal pasti kesahihan sesuatu maklumat yang diperoleh dan diberi terutama di media sosial bagi mengelak penularan berita palsu hingga mencemar imej perkhidmatan awam.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu penjawat awam yang tidak berintegriti sehingga mencemar nama baik jabatan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

“Seramai sembilan anggota penjawat awam telah dikenakan tindakan buang kerja atas pelbagai kesalahan tahun lepas…ini merupakan satu peringatan kepada semua penjawat awam agar menjaga disiplin masing-masing supaya tidak dikenakan tindakan tatatertib,” katanya.

Dalam pada itu, Zainal Rahim menyeru penjawat awam agar sentiasa berusaha bagi meningkatkan mutu perkhidmatan selain menjaga disiplin dan imej dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

“Kita mahu peranan penjawat awam diperkukuhkan agar integriti serta tadbir urus perkhidmatan awam hari ini dapat dipertingkatkan di samping mengurangkan ketirisan dalam usaha memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mencapai pada satu tahap yang lebih memberangsangkan,” katanya.- Bernama

The post Penjawat awam berisiko muflis, gagal urus hutang akan disiasat appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian