Perjanjian jual saham Bandar Malaysia RM7.41 bilion kepada Iskandar Waterfront, China Railway batal

BANGI, 6 Syaaban 1438H, Rabu – TRX City Sdn Bhd, syarikat di bawah Kementerian Kewangan, mengumumkan perjanjian jualan saham (SSA) Bandar Malaysia dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corperation (M) Sdn Bhd (CREC), kini batal, berikutan kegagalan pihak pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran.

Perjanjian itu membabitkan 60 peratus modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn Bhd, bernilai RM7.41 bilion. Keseluruhan pembangunan Bandar Malaysia membabitkan kos kira-kira RM200 bilion.

TRX City Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata, walaupun IWH dan CREC yang membentuk IWH CREC Sdn Bhd (IWH CREC) diberi tempoh lanjutan bagi membuat bayaran, namun mereka gagal memenuhi tanggungjawab pembayaran sebagaimana termaktub dalam syarat SSA yang ditandatangani pada 31 Disember 2015.

“Berikutan itu, SSA antara pihak terbabit terbatal berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

TRX City berkata, mengambil kira kepentingan nilai tanah Bandar Malaysia, Kementerian Kewangan selaku pemegang tunggal kepentingan TRX City, akan mengekalkan pemilikan 100 peratus terhadap kawasan itu bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat hasil daripada pembangunan kawasan itu.

Dalam masa terdekat TRX City akan mempelawa mana-mana pihak yang berminat sebagai pemaju induk Bandar Malaysia dengan pemilikan penuhnya dikekalkan oleh Kementerian Kewangan.

“Proses pemilihan itu akan membabitkan kriteria yang ketat termasuk rekod pencapaian atau prestasi, kadar tempoh pelaksanaan dan kemampuan kewangan bagi pembangunan berskala besar itu.

“Ini penting bagi mempertingkatkan semua aspek Bandar Malaysia termasuk peranannya sebagai hab perniagaan, pengangkutan, penempatan dan pelancongan.

“Langkah yang diambil hari ini bertujuan memastikan tidak wujud sebarang masalah jangka panjang dalam pembangunan Bandar Malaysia dan apabila siap kelak, ia dapat menepati (peranan) sebagai kepentingan negara pada tahap lebih baik berbanding sebelumnya,” kata kenyataan itu.

The post Perjanjian jual saham Bandar Malaysia RM7.41 bilion kepada Iskandar Waterfront, China Railway batal appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?