Persatuan Sejarah Kedah rekod satu lagi penemuan terpenting, makam berusia 239 tahun
ALOR SETAR, 11 Syaaban 1438H, Isnin – Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) membuat penemuan ketiga terbesar tahun ini, apabila empat lagi kubur termasuk dipercayai makam Sultan Kedah ke-19 Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II dan permaisurinya, Tunku Puteri Almarhum Tunku Ishak, ditemukan di Anak Bukit.
Pengerusi Persatuan Sejarah Cawangan Kedah, Datuk Wan Samsudin Wan Yusof berkata, penemuan makam dianggarkan berusia 239 tahun oleh beberapa ahli persatuan itu dibuat pada 26 Mac lalu, sebelum pihaknya mula membuat beberapa tinjauan awal.
“Sultan Muhammad Jiwa memerintah Kedah dari tahun 1710 hingga 1778 dan beliau membuka dua kota pemerintahan iaitu di Kota Setar dan Anak Bukit,” katanya kepada Bernama di lokasi penemuan.
Wartawan Bernama yang berkesempatan ke lokasi melihat dua daripada kubur itu mempunyai binaan kepok (binaan pusara) yang terdiri daripada lapisan batu bata yang agak tinggi dan terletak bersebelahan, dipercayai makam pasangan diraja berkenaan.
Satu lagi kubur yang berada bersebelahan makam Sultan Muhammad Jiwa pula mempunyai binaan kepok memanjang, namun lebih rendah dan dipercayai milik pembesar pada zaman itu, manakala satu lagi kubur tidak dapat dikenal pasti identitinya.
Wan Samsudin berkata, pihaknya masih belum menemui apa-apa tulisan pada batu nisan berkenaan dan masih melakukan kajian mendalam mengenainya.
Seorang penyelidik PSMCK Syamsyul Anuar Ismail, berkata berdasarkan rekod geneaologi Kesultanan Kedah oleh Christopher Buyers, Sultan Muhammad Jiwa mangkat pada 20 Sept 1778 dan dimakamkan di Kota Setar, bagaimanapun makamnya tidak ditemui sehingga kini.
“Daripada pengalaman saya dalam kajian batu Acheh, berdasarkan bentuk, jenis, dan saiz; batu nisan di Anak Bukit inilah yang paling besar pernah dijumpai di Kedah.
“Nisan tersebut biasanya dipanggil sebagai batu Acheh, semua batu nisan Acheh diimport ke sini dari Acheh dan dijual kepada golongan atasan dan bangsawan, rakyat biasa hanya guna nisan kayu atau nisan berbatu sungai,” katanya.
Pada 23 Mac lepas, PSMCK menemui makam dipercayai milik Sultan Kedah ke-16 Sultan Ataullah Muhammad Shah di Bukit Pinang, kira-kira sebulan selepas menemui makam Sultan Kedah ke-14 Sultan Muhyiddin Mansur Shah di Kampung Chegar, Mukim Jeram, Tunjang. – Bernama
The post Persatuan Sejarah Kedah rekod satu lagi penemuan terpenting, makam berusia 239 tahun appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan