PRU14: Pertandingan lebih dua penjuru pengkhianatan usaha jatuhkan rejim Najib, kata Tun M

BANGI, 15 Syaaban 1438H, Jumaat – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah penting dalam sejarah negara kerana ia akan memberi tumpuan untuk menjatuhkan rejim Datuk Seri Najib Razak yang telah merosakkan negara dalam semua bidang.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan satu pengkhianatan terhadap usaha menjatuhkan Najib, jika pada PRU14 nanti berlaku pertandingan lebih daripada dua penjuru.

Persoalannya ialah apakah mungkin gabungan parti-parti lawan menang dalam PRU14. Besar kemungkinan mereka menang jika pertandingan hanyalah antara mereka dengan Barisan Nasional (BN), katanya.

“Tetapi ada parti-parti yang kononnya akan letak calon untuk melawan Najib dan BN. Dengan ini akan berlakulah pertandingan tiga atau empat penjuru. Kesannya ialah pengundi yang berhasrat mengalahkan Najib akan berpecah dua atau tiga. Penyokong Najib, kerana sebab-sebab tertentu akan bersatu mengundi BN. Najib akan menang kerana berpecahnya undi pembangkang,” katanya.

Bekas Perdana Menteri berpendapat parti yang memecahkan pengundi penentang sehingga pertandingan menjadi tiga atau empat penjuru, sebenarnya menyokong BN dan Najib.

“Perbuatan ini menjadi satu jenis pengkhianatan kepada usaha menjatuhkan Najib dan menghentikan kerosakan kepada negara. Najib akan teruskan cara pentadbiran yang umum tahu akan memufliskan negara dan meletaknya di bawah kuasa asing,” katanya menulis dalam blog beliau, hari ini.

PRU14, katanya, adalah penting kerana Najib telah menghancurkan demokrasi sehingga Malaysia dikenali sebagai negara kleptokrasi iaitu kerajaan yang dipimpin oleh penjenayah yang melesapkan wang negara, tidak berpandukan kepada undang-undang, menekan rakyat secara zalim; membelakangkan keadilan, tidak menghormati perpisahan antara legislatif dengan eksekutif serta kehakiman.

Tun Dr Mahathir berkata, ketiga-tiga itu dikuasai oleh Najib sebagai ketua kerajaan daripada pihak pembuat undang-undang, manakala dasar berkecuali sudah dihapuskan dan diganti ikatan ketenteraan dengan negara China.

Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu berkata, ekonomi negara rosak teruk akibat rasuah, peningkatan perbelanjaan pentadbiran dan penambahan kakitangan kerajaan yang tinggi, belanjawan yang tidak bijak yang menumpu kepada mendapat sokongan popular kepada Perdana Menteri, pinjaman terlalu besar dan dasar yang menekan swasta, meyebabkan sekarang ini beban hutang tidak dapat dibayar oleh kerajaan.

Katanya, kos sara hidup rakyat meningkat kerana cukai barangan dan perkhidmatan (GST), nilai ringgit jatuh teruk, manakala pengangguran di kalangan lulusan universiti terus meningkat.

“Pelaburan asing terhad kepada pembelian tanah untuk dibangun bandaraya oleh kontraktor luar dengan mengguna bahan dan pekerja dari negara kontraktor. Kos pelajaran dan rawatan meningkat tinggi dan tidak dapat ditanggung oleh kebanyakan rakyat.

“Semua bidang-bidang politik, ekonomi dan sosial yang telah jadi buruk kerana dasar dan pengurusan Najib akan menjadi lebih buruk lagi jika Najib terus berkuasa. Hanya jika kerajaan pimpinan Najib diganti dengan kerajaan baru sahaja barulah boleh keadaan politik, ekonomi dan sosial dipulih semula.

“Bolehkah kita yakin kerajaan yang mengganti dapat mentadbir dengan lebih baik dari Najib? Sesungguhnya tidak ada kerajaan yang begitu buruk dan berjenayah besar seperti kerajaan Najib,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan yang bercadang menggantikan Najib ialah kerajaan parti-parti campuran pembangkang yang akan dipimpin oleh mereka yang mahir dalam politik dan dibantu oleh mereka yang berpengalaman dalam pentadbiran negara.

“Mereka tidak ada rekod jenayah atau menyalahguna kuasa. Mereka terpelajar dan pernah menjadi anggota kerajaan,” katanya.

The post PRU14: Pertandingan lebih dua penjuru pengkhianatan usaha jatuhkan rejim Najib, kata Tun M appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian