Ucapkan Selamat BerRamadan Bukan Selamat Berpuasa
Pantai Dalam, 14 Mei – “Allah turunkan bulan Ramadan bukan untuk kita berpuasa sahaja tetapi datangnya Ramadan dengan pakej lengkap ibadah agar manusia mencapai darjat taqwa sebagaimana ayat 183 surah al-Baqarah.”, demikian pesan Ustazah Nor Saadah kepada muslimat Surau Insaniyyah, Bukit Angkasa dalam Usrah Wanita bulanannya.
Terang Ketua Biro Wanita Isma Kuala Lumpur itu lagi, “sebab itu ucaplah selamat berRamadan bukan selamat berpuasa sahaja agar kita mampu menghidupkan Ramadan dengan penuh ketaqwaan.”
Memandangkan Ramadan yang semakin menghampiri, tajuk ‘Persiapan Minda dan Rohani Menuju Ramadan’ dipilih pada usrah kali ini.
Antara persiapan yang disarankan ustazah adalah berdoa supaya dipertemukan dengan Ramadan dan juga berdoa supaya diberi kesihatan yang baik untuk menghidupkan Ramadan.
“Kita juga perlu niat dengan bersungguh serta berazam untuk melakukan ibadah dengan terbaik.”
“Selain itu, memperbanyakkan taubat dan istighfar juga perlu untuk menyediakan mental untuk menghadapi Ramadan”.
“Ramadan seharusnya memberi kesan pada diri kita, dengan manjadikan kita seorang yang hebat akhlak, hebat ibadah dan sentiasa meningkatkan amalan, banyak bersedekah dan berusaha mengelakkan maksiat atau dosa.”
“Ramadan juga menjadikan kita ahli syurga dan hamba yang taat pada perintah Allah serta mencintai Rasulullah.”
Ustazah Saadah juga sempat berpesan kepada wanita yang tidak dapat berpuasa, bersolat dan membaca al-Quran kerana uzur syarie agar memperbanyakan zikir, bersedekah serta memberi makan kepada orang yang berbuka puasa.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan