22 warga asing ditahan di Pulau Pinang
BUTTERWORTH, 8 Ramadan 1438H, Sabtu – Seramai 22 warga asing termasuk lapan wanita ditahan dalam Op Ikrar yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang di beberapa lokasi sekitar negeri ini semalam dan Khamis.
Jurucakap JIM Pulau Pinang berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan di sekitar Bukit Mertajam, Perai dan George Town sebelum menahan semua warga asing berusia 25 hingga 40 tahun itu.
“Operasi yang bermula 3 petang Khamis hingga awal pagi semalam itu dijalankan di kawasan kilang, gerai makanan, restoran dan rumah yang disewa warga asing.
“Mereka ditahan kerana tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada 15 warga Indonesia termasuk lapan wanita, empat lelaki (Myanmar), dua lelaki (Bangladesh) dan seorang lelaki Nepal.
Dalam operasi itu, dua majikan kepada warga asing yang ditahan turut diarahkan hadir ke pejabat JIM Pulau Pinang untuk siasatan lanjut, katanya.
Katanya, semua warga asing yang ditahan itu dibawa balik ke pejabat JIM Pulau Pinang untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru bagi siasatan lanjut.- Bernama
The post 22 warga asing ditahan di Pulau Pinang appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan