Enam sekeluarga rentung antara lapan maut nahas 4 kenderaan
JEMPOL, 17 Ramadan 1438H, Isnin – Lapan maut, termasuk enam yang rentung dalam nahas membabitkan empat kenderaan di di Jalan Ladang Risda Palong, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, petang semalam.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun pula cedera parah dalam nahas kira-kira jam 2.20 petang, membabitkan Perodua Myvi; Proton Exora, Toyota Vios serta sebuah treler.
Nahas ngeri itu dipercayai berlaku apabila treler dipandu seorang lelaki dari arah Kratong cuba memotong sebuah motosikal tetapi gagal sebelum terbabas ke lorong bertentangan.
Pada masa sama Perodua Myvi dinaiki Osman Mohd Taip, 31, isterinya, Rosniza Othman, 32, dan anak mereka Muhammad Alofthaqif, 3 tahun datang dari arah bertentangan cuba mengelak treler berkenaan.
Bagaimanapun, Perodua Myvi itu bertembung dengan Toyota Vios dipandu Mohd Radzi Rahman, 34, yang mengekori treler berkenaan. Mohd Radzi bagaimanapun, tidak cedera.
Proton Exora yang dinaiki enam individu dipercayai dari satu keluarga yang mengekori Perodua Myvi gagal mengelak menyebabkan bertembung dengan treler terbabit.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, pertembungan itu menyebabkan treler berkenaan menghempap Proton Exora ke dalam parit berhampiran sebelum terbakar dan semua penumpangnya rentung di tempat kejadian.
Osman dan Rosniza meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kereta, manakala anak mereka masih berada di dalam Perodua Myvi itu, tetapi patah bahu dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.
Noorzainy berkata, identiti semua mangsa dalam Proton Exora itu sedang dikenal pasti dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
The post Enam sekeluarga rentung antara lapan maut nahas 4 kenderaan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan