Ganjaran pahala untuk wanita dalam Ramadan


Kita amat bersyukur kerana masih diberikan kesempatan oleh Allah swt untuk menikmati bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan iaitu bulan Ramadhan. Bulan ramadhan disebut juga sebagai syahrul tarbiyah atau bulan pendidikan yang mendidik jiwa, melatih peribadi, jasmani, rohani ke arah menjana iman dan takwa serta menghindari perkara-perkara maksiat. Tarbiah Ramadhan dapat membentuk ruhiyah maknawiyah  melalui amalan ibadah wajib dan sunat seperti puasa, qiyamul lail, tilawah Quran, zikir, doa dan  sebagainya.

Alangkah ruginya jika kita melepaskan dan mensia-siakan tarbiah jasadiyah, tarbiah fikriyah dan tarbiah qalbiyah serta peluang  yang Allah swt  tawarkan dengan pelbagai kelebihan dan pahala berganda sepanjang bulan Ramadan. Kemuliaan dan keberkatan Ramadan adalah untuk semua sama ada lelaki ataupun wanita, tua atau muda. Semua berhak menikmati, menghayati dan mengejar kehebatannya.

Tanggapan salah dan persepsi negatif yang mengatakan kaum wanita seolah-olah terlepas banyak peluang untuk beramal dan merebut ganjaran besar sepanjang bulan Ramadhan sepatutnya tidak berlaku kerana setiap aktiviti kebaikan yang dilakukan oleh wanita, jika dilakukan dengan ikhlas dan diniatkan semata-mata kerana Allah swt akan dikira sebagai amal kebajikan dan mendapat pahala walaupun wanita tersebut dalam keadaan suci atau dalam keadaan haid dan nifas.

Sesungguhnya wanita yang memberi khidmat untuk keluarganya walaupun kecil dan remeh adalah dikira sebagai amal soleh. Dalil yang menunjukkan khidmat adalah amal soleh berdasarkan hadis berikut: 

Dari Jabir bin Abdullah ia berkata, sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Setiap kebajikan adalah sedekah dan di antara bentuk kebaikan adalah kamu menjumpai saudaramu dengan wajah yang menyenangkan dan kamu menuangkan air dari timbamu ke dalam bejana milik saudaramu.” (Riwayat at-Tirmizi)

Menuangkan air pada bejana saudara yang lain adalah jenis khidmat (layanan). Rasulullah saw menyebutnya sebagai ma’ruf dan sesuatu yang ma’ruf adalah amal soleh. Lebih utama lagi jika yang dilayani adalah orang yang berpuasa, kerana melayani orang yang berpuasa dan meringankan kesusahan mereka boleh mendapat ganjaran sebagaimana orang yang berpuasa.

Wanita yang mendorong keluarganya beramal soleh termasuk amal soleh dan akan mendapat pahala sebagaimana pahala orang yang beramal soleh tersebut berdasarkan sabda Rasulullah saw yang bermaksud: 

“Barang siapa dapat menunjukkan suatu kebaikan, maka dia akan mendapatkan pahala seperti orang yang melakukannya.” (Riwayat Muslim).

Seorang ibu boleh melakukan khidmat dengan cara menyiapkan makan sahur, mengejutkan anak-anak untuk bersahur, mencuci, membersih rumah, menyediakan juadah berbuka dan sebagainya. Semua hal tersebut jika dilakukan kerana Allah tidak akan sia-sia dan akan mendapat pahala di sisi Allah.

Dari Zaid bin Khalid Al Juhani berkata: sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Barangsiapa yang memberi makan orang yang berbuka, dia mendapat pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikit pun” (Riwayat at-Tirmizi).

Alangkah baiknya jika seorang wanita khususnya ibu dapat mendidik anaknya berpuasa dan menghayati bulan Ramadhan dengan mengajar fiqh puasa dan menceritakan sejarah serta peristiwa yang berlaku di bulan Ramadan seperti Nuzul Quran, Perang Badar, Perang Tabuk, Penaklukan Andalus dan lain-lain. Cerita-cerita begini boleh diceritakan kepada anak-anak pada hujung minggu sebagai mengisi masa mereka dengan perkara berfaedah, juga sebagai motivasi kepada mereka. Sesungguhnya penceritaan dari seorang ibu sangat memberi kesan  dan anak- anak akan mengingatinya hingga dewasa.

Betapa besarnya peranan wanita dalam memberi tarbiah kepada anak-anak dan keluarganya di samping tidak lupa tarbiah zatiah untuk dirinya sendiri yang boleh diraih daripada kurniaan Allah melalui ibadah wajib dan sunat sepanjang bulan Ramadan.

Rasulullah saw secara khususnya menyarankan wanita agar memperbanyakan istighfar dan sedekah lebih-lebih lagi di bulan Ramadan kerana baginda diperlihatkan bahawa wanita adalah penghuni neraka yang paling banyak. Saranan Rasulullah saw ini hendaknya mendapat perhatian lebih para wanita.

Imam Muslim meriwayatkan: Dari Abdullah bin Umar dari Rasulullah saw, sabda baginda yang bermaksud: “Wahai kaum wanita, bersedekahlah kamu dan perbanyakkan istighfar, kerana aku melihat kaum wanitalah yang paling banyak menjadi penghuni neraka” (Riwayat Muslim).

Wanita juga dianjurkan memperbanyakan zikir baik dengan lisan maupun dengan hatinya. Begitu juga memperbanyakkan doa terutamanya di bulan Ramadhan yang mulia ini. Sabda Rasulullah saw  yang bermaksud : 

Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" (Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir).

Setiap wanita mesti memanfaatkan kesempatan emas ini, pahala besar telah menanti setiap wanita muslimah, pahala ibadah di bulan Ramadhan yang hanya sekali dalam setahun!!. Inilah sebahagian daripada ibadah wanita di bulan Ramadan.
Marilah kita sambut bulan penuh rahmah ini. Kita hadapkan hati dan fikiran pada Allah, sehingga kita keluar dari bulan ini dengan membawa keampunan dari Allah, dikembalikan kepada fitrah dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Sepanjang Ramadan Allah swt membuka kesempatan yang seluas-luasnya bagi setiap individu untuk maraih semua keutamaan yang Allah swt janjikan di setiap  ibadah yang kita lakukan di bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud, 
“Barangsiapa berpuasa Ramadan karena iman dan mengharapkan pahala dari Allah swt, maka Allah mengampuni dosanya yang telah lalu. Dan barangsiapa melakukan amal ibadah tambahan (sunah) di bulan Ramadan karena iman dan mengharapkan pahala dari Allah swt, maka ia akan diampuni dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Semoga kita menjadi hamba yang bertakwa dan tetap istiqamah melakukan kebaikan pada bulan-bulan  seterusnya. Wallahu A'lam.
Tulisan oleh:
Ustazah Fauziah Ibrahim
Ketua Wanita ISMA
Cawangan Kuala Terengganu




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian