Generasi Felda minta Lembaga Pengarah FGV dirombak

KUALA SELANGOR, 29 Ramadan 1438H, Sabtu – Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) meminta supaya Lembaga Pengarah Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dirombak semula dengan memasukkan tiga wakil daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Pengerusi GWGF, Tan Sri Rozali Ismail berkata, langkah itu adalah bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat syarikat senaraian awam itu dapat diketahui secara terus oleh golongan peneroka dan generasi Felda, selaku pemegang saham terbesar FGV.

Malah katanya, ramai peneroka dan anak-anak peneroka kini terdiri daripada golongan terpelajar dan profesional yang mampu memberikan buah fikiran bernas untuk pembangunan dan pemantapan ekonomi FGV.

“Apa yang merisaukan, apabila pengurusan FVG dilanda kemelut dan tidak sempurna, ia merugikan peneroka di seluruh negara dan menimbulkan perspektif yang tidak cantik oleh masyarakat luar terhadap Felda, ” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama penduduk setempat dan media di sini, malam tadi.

Justeru, katanya GWGF memohon kepada kerajaan supaya mempertimbangkan penyenaraian wakil Felda sebagai ahli lembaga pengarah FGV demi kelestarian masyarakat peneroka pada masa depan.

Rozali turut menyokong penuh pelantikan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pengerusi FGV yang baharu untuk menerajui syarikat berkenaan seterusnya menyelesaikan kemelut yang melanda syarikat itu.

Kemelut FGV mendapat perhatian umum apabila Lembaga Pengarah syarikat mengarahkan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad serta tiga pegawai pengurusan kanan FGV dan anak syarikatnya bercuti bermula 6 Jun lalu.

Tiga pegawai kanan itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Karim.

Susulan itu juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap syarikat senaraian awam tersebut.

Kerajaan juga melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak berkecuali bagi menangani kemelut dalaman syarikat berkenaan. – Bernama

The post Generasi Felda minta Lembaga Pengarah FGV dirombak appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?