Islam tidak perlukan Sekularisme

Sambungan dari bab “Sekular-Sekularisasi-Sekularisme”, dari buku “Islam & Sekularisme” karya ilmuwan ulung tanah air, Prof Dr Syed Naquib Al Attas, jelas menunjukkan bahawa Islam merupakan sebuah deen (cara hidup) yang syumul yang tidak memerlukan nilai pertambahan dari idealogi ciptaan manusia seperti mana yang berlaku dalam sejarah agama Kristian.

1. Antara kesalahan terbesar ummat Islam adalah apabila menyangka malapetaka kemunduran yang melanda ummat Islam pada hari ini adalah kerana kita mengikut jejak langkah masyarakat Kristian Barat di masa lampau. Lalu menyeru, kita perlu menerima sekularisme ke atas agama Islam supaya kita turut dapat mencapai kemajuan sepertimana yang dikecapi Barat. Buangkan agama dari politik, buangkan agama dari sejarah, buangkan agama dari ekonomi. Sedangkan konsep-konsep itu hanya wajar dalam konteks sejarah intelektual Kristian di Barat. Apatah lagi untuk ummat Islam terus melakukan sekularisasi dan menjadi murtad total konon untuk mengeluarkan diri dari cengkaman kemunduran.

2. Agama wahyu sejak awal harus melakukan seruan universal dan tidak memerlukan “perkembangan” lebih lanjut dalam dirinya dan hukum sakralnya. Menurut pengertian kita, agama wahyu itu sejak awalnya mestilah lengkap dan sempurna untuk memenuhi keperluan manusia. Kitab Suci Al Quran mengatakan bahawa Islam telah dijadikan lengkap dan sempurna untuk ummat manusia, dan pengakuan kelengkapan dan kesempurnaan ini telah dibuktikan oleh sejarah sejak awal mulanya. Wahyu itu sendiri disempurnakan pada masa kehidupan Nabi Muhammad s.a.w.

3. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabatnya serta generasi sezamannya telah berusaha bertindak selaras dengan wahyu yang diturunkan. Mereka hidup dalam sejarah dengan menjadi patokan dan rujukan bagi zaman seterusnya kerana kebenaran dan nilai-nilai yang menuntunnya, semuanya telah ada di masa itu, sehingga Islam dan masa kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. selalu sesuai, selalu cukup, selalu “modern” tau baru, selalu mendahului zaman kerana ia melampaui sejarah.

4. Adapun istilah “tradisi” dan “tradisional” yang digunakan dalam konteks Islam, ia tidak bererti dan tidak merujuk kepada sesuatu tradisi yang terhasil dari kreativiti atau olahan manusia. Ia bukan dari evolusi dalam sejarah dan tercipta dari budaya. Tradisi yang dimaksudkan adalah wahyu dan perintah dari Allah.

Gambarajah : Proses sekularisasi

5. Islam menolak secara keselurhan konsep sekularisasi yang disebutkan dalam gambarajah di atas. Sebaliknya Islamisasi bermaksud :

i. Islam menghapuskan semua nilai tidak Islami, dan dalam pengertian nilai-nilai yang berlawanan dengan Islam. Islam menolak segala nilai lain yang dicipta manusia tanpa berpaksikan kepada Tauhid kepada Allah.

ii. Islam menghapuskan pengesahan agama pada kuasa dan autoriti politik, namun tidak seperti apa yang dimaksudkan oleh mereka yang sekular. Ini kerana, Islam sendiri didasarkan pada kewenangan (authority) Allah s.w.t dan kewenangan suci dari Nabi Muhammad s.a.w, yang juga merupakan cerminan kewenangan Allah. Jadi setiap ummat Islam seluruhnya menolak pengesahan agama dari sesiapapun sama ada pemerintah atau negara, kecuali pemerintah atau negara itu mengikut amalan Nabi Muhammad s.a.w dan tunduk kepada perintah dan hukum sakral yang diwahyukan Allah s.w.t. “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taati Rasul-Nya dan Ulil Amri diantara kamu, kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur`an) dan Rasul (sunnahnya) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhir, yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An-Nisa: 59). (Catatan : Islam bukanlah agama teokrasi seperti yang diamalkan Kristian Barat dahulu, yang telah menjadikan diri mereka dengan kewenangan sebagai wakil Tuhan di muka bumi, sehingga boleh jual surat pengampunan!)

iii. Islam menghilangkan pesona dari alam tabi’I tetapi hanya dalam pengertian yang membantas kepercayaan animism, khurafat dan kedewaan yang palsu. Islam menerapkan alam semesta sebagai “ayat” iaitu tanda-tanda bagi orang yang beriman. Al Quran menyebut manusia memiliki kecerdasan, pengertian dan kefahaman untuk mengenal Tuhan melalui alam semulajadi. Alam ini mempunyai makna kosmik yang harus dihormati kerana ada hubungan simbolik antara manusia dan tuhan, iaitu sebagai wakil Allah (khalifah). Jadi manusia tidak boleh lancing dan biadab dengan menganggap dirinya sekutu Allah dalam penciptaan.

6. Ada sebahagian cendekiawan Islam terus tertipu dengan peradaban Barat mengikut arus modernism. Contohnya membincangkan “Sosialisme dalam Islam”. Padahal sosialisme adalah idealogi sekular yang terpisah dari Islam dan tidak akan pernah ada reality seperti “sosialisme Islami”. Jika mereka ingin dan bermaksud membawa idea bahawa ada sisi-sisi sosialisme yang sejajar dengan sisi-sisi Islam, maka seharusnya mereka menyatakan idea itu dengan cara lain yang tidak menempekkan Islam dengan isme yang lain. Contohnya, bolehlah disebut “dimensi sosial, politik dan ekonomi dari Islam”.

7. Ada juga yang cuba menyebut “Sekularisme dalam Islam” sedangkan sekularisasi tidak pernah mungkin menjadi bagian dari Islam. Ia tidak perlu berlaku sepertimana berlaku dalam agama Kristian yang gagal bersifat syumul (sempurna). Walau sumber sekular turut mengemukakan penjelasan mengenai agama, tetapi akhirnya mereka mengecilkan agama menjadi suatu sistem doktrin dan upacara agama yang mereka fahami yang telah “berkembang” dan “berevolusi”.

Jika disingkap sejarah peradaban Islam, ia tidak pernah menjadi penghalang kemajuan, keamanan, keilmuwan dan kebahagiaan. Suka saya berkongsi deskripsi mengenai Islam yang pernah dikemukakan oleh Hassan Al Banna, “Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan tanahair ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan.

Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.”

Norhidayah Ismail
Aktivis ISMA

The post Islam tidak perlukan Sekularisme appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian