KEWAJIPAN MEMBONGKAR PENDOKONG FAHAMAN SESAT

Mutakhir ini, kita berhadapan dengan pelbagai golongan yang tampil mendabik dada tanpa segan silu untuk mengatakan

“saya pengamal LGBT”

“saya pemikir Islam Liberal”

“saya pengikut Syiah”

“saya pengikut anti hadis”

serta pelbagai pengakuan lain yang menunjukkan sisi-sisi penentangan kepada maksud Islam yang sebenar. Kalau dahulu, mereka lebih suka menyembunyikan kerana ia bukanlah fahaman yang dipegang oleh majoriti masyarakat. Bahkan mereka khuatir sekiranya dipinggirkan oleh masyarakat. Namun begitu, disebabkan oleh campurtangan pengaruh asing, bahkan fahaman-fahaman asing ini diberi dana untuk berkembang, sedikit demi sedikit mereka berani tampil ke hadapan.

Faktor lain adalah penguatkuasaan yang lemah dari pihak berwajib, sedangkan cukup akta dan enakmen undang-undang serta cukup badan pelaksana yang diberi bajet. Bahkan masyarakat yang baik tetapi tidak memilih untuk melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar, lebih seronok mendiamkan diri kerana bimbang sekiranya dicerca semasa menyuarakan pandangan tentang kejahilan dan kesesatan penganut-penganut fahaman songsang ini.

Peristiwa demi peristiwa, kedudukan Islam dan masyarakat Muslim di Malaysia diasak supaya menerima nilai-nilai yang sesat dan songsang ini. Lambakan buku-buku yang menyesatkan, menghina Islam dan Rasulallah s.a.w, serta mengganggu ketenteraman masayarakat Islam terus dijual di pasaran. Bahkan wacana ilmiah dan simposium yang sibuk mencanang idealogi bercanggah dengan Islam tumbuh bagaikan cendawan.

Antara buku-buku sesat adalah, “Allah, Liberty and Love” oleh Irsyad Manji, seorang Muslim liberal, “The Satanic Verses” karangan Salman Rushdie, novelis British yang juga seorang liberal, “Sebongkah batu di Kuala Berang” dan “Ketupat Cinta” tulisan Muhd Faisal Musa atau Faisal Tehrani, yang berunsur Syiah, “Hadis: Satu Penilaian Semula” dan “Mencari Jalan Pulang dari Sosialisme kepada Islam” oleh Kassim Ahmad yang menolak hadis dan lain-lain buku lagi.   Kesemua buku-buku ini telah dilarang penjualan dan penyebarannya oleh Kementerian dalam Negeri (KDN) dan JAKIM.

Allah telah berfirman yang bermaksud,

” Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya dan dia di akhirat termasuk di kalangan orang yang rugi.” ( Surah Ali ‘Imran 3: 85)

“Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, yaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka, dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” (Surah Ar Rum 30: 31-32)

” Maka jika datang kepadamu petunjuk daripadaKu, lalu barangsiapa yang mengikuti petunjukKu, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka.” (Surah Taha 20: 123)

Daripada Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah saw pernah bersabda, ” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam membuat sebuah garis lurus bagi kami, lalu bersabda,”Ini adalah jalan Allah,” kemudian beliau membuat garis lain pada sisi kiri dan kanan garis tersebut, lalu bersabda,”Ini adalah jalan-jalan (yang banyak). Pada setiap jalan ada syaitan yang mengajak kepada jalan itu,” (Hadis riwayat Ahmad)

Pernah disebut bahawa antara sebab-sebab kesesatan ialah meninggalkan ilmu dan meninggalkan amal. Orang yang meninggalkan ilmu adalah orang yang jahil dan menjadi sesat disebabkan kejahilan mereka. Golongan kedua pula ialah orang yang tahu kebenaran tetapi tidak mahu mengamalkannya, mereka membangkang dan menidakkan kebenaran. Akibatnya mereka menjadi sesat.

Oleh itu, semua pihak perlu bertindak untuk menghalang segala ajaran dan pemikiran sesat ini, kerana dikhuatiri jika dibiarkan berleluasa, semakin ramai yang akan mengikut jejak langkah mereka, akidah akan tergadai dan Islam akan dipinggirkan, (naudzubillahi min zalik).

Antara tindakan yang boleh diambil ialah:

  1. Dedahkan profil pengikut-pengikutnya, amalan-amalan mereka dan aktiviti mereka serta di mana mereka bergerak
  2. Dedahkan tulisan-tulisan mereka yang menyesatkan dan dibalas balik dengan hujah-hujah bernas berdasarkan Al Quran dan Hadith
  3. Buku-buku, video dan filem yang mendedahkan sisi buruk pemikiran dan ajaran sesat ini perlu diperbanyakkan lagi di pasaran supaya masyarakat lebih peka, faham dan mengenali mereka. Juga, perlu diperbanyakkan buku, video dan filem yang memaparkan Islam yang benar
  4. Pihak berwajib seperti KDN dan JAKIM serta badan-badan kerajaan dan NGO Islam perlu peka dan sensitif dan ambil inisiatif dedahkan kumpulan-kumpulan sesat ini serta mengambil tindakan undang-undang.
  5. Semua orang perlu menjalankan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar dan tidak melepaskannya pada beberapa kumpulan atau perseorangan sahaja.

Hadis Rasulullah saw yang bermaksud,

“Perumpamaan orang menjaga batas sempadan (agama) Allah dan orang yang melanggarnya ialah seperti suatu kaum yang sama-sama menaiki kapal. Lalu sebahagiannya duduk di bahagian atas dan sebahagiannya duduk di bahagian bawah. Apabila orang-orang yang duduk di bahagian bawah hendak mendapatkan air mereka meminta tolong dari orang yang duduk di atas. Maka mereka berkata “Alangkah baiknya sekiranya kita tebuk satu lubang di bahagian kita ini, maka kita tidak menyusahkan orang yang duduk di atas.” Sekiranya orang-orang yang duduk di atas membiarkan mereka melakukan apa yang mereka mahu, maka mereka semua akan binasa dan sekiranya mereka melarangnya maka mereka semua akan terselamat.

(Riwayat Bukhari dan Tirmizi)

Ada beberapa pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:-

  1. Hukuman Allah swt boleh dijatuhkan ke atas sesuatu kawasan atau negeri disebabkan meninggalkan amalan mencegah kemungkaran
  2. Saling ingat-mengingati dan nasihat-menasihati antara kita sesama Muslim untuk mengelakkan kemusnahan atau bencana seperti masyarakat di atas kapal menasihati masyarakat yang berada di bawah
  3. Meninggalkan kemungkaran tidak cukup dengan individu sahaja yang melakukannya tetapi perlu melibatkan masyarakat semua untuk sama-sama meninggalkannya
  4. Setiap kemungkaran yang dilakukan oleh seorang atau beberapa individu dalam masyarakat boleh mengesani atau mendatangkan akibat buruk pada anggota masyarakat yang lain
  5. Manusia tidak mempunyai kebebasan mutlak untuk melakukan sekehendak hatinya kerana dia hidup dalam masyarakat dan segala perbuatannya masih terkait dengan masyarakat sekitarnya

Kesimpulannya, pertembungan haq dan batil adalah sesuatu yang telah dijelaskan oleh Allah dalam Al Quran dan pertembungan ini akan berlaku sehingga hari kiamat. Beruntunglah orang-orang yang berusaha berada di saf kebenaran sambil melaksanakan amar makruf nahi mungkar sedangkan rugilah orang-orang yang memilih untuk bersama kebatilan dan berusaha menyebarkan kebatilannya itu.

Dr Norzila binti Baharin

Pengerusi

Biro Kominikasi dan Multimedia

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian