KPT perjelas sebab 13 penuntut UPNM dibenar sambung belajar

PUTRAJAYA, 23 Ramadan 1438H, Ahad – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjelaskan bahawa 13 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dibenarkan menyambung pengajian adalah mereka yang dibebas dengan bon mahkamah.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pelajar berkenaan yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kadet tentera laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain itu juga akan diberi kaunseling dan sokongan psikososial.

“Saya mendapati bahawa terdapat kekeliruan yang timbul di kalangan awam. Terdapat dua kumpulan pelajar yang dimaksudkan di sini.

“Pertama, seramai 13 orang pelajar UPNM telah dikenakan tuduhan di bawah kanun keseksaan. Mereka telah dibenarkan oleh Mahkamah untuk diikat jamin sementara menanti perbicaraan kelak.

“Pelajar-pelajar ini telah digantung daripada pengajian mereka. Pihak UPNM sedang memproses penggantungan ini mengikut prosedur yang ditetapkan.

Manakala katanya, kumpulan kedua iaitu seramai 13 lagi pelajar UPNM telah dibebaskan dengan bon mahkamah dan tidak dikenakan sebarang pertuduhan oleh pihak berkuasa.

“Pelajar inilah yang saya maksudkan dibenarkan untuk sambung belajar seperti biasa sepertimana keputusan yang dibuat oleh UPNM. Pelajar-pelajar ini juga akan diberikan kaunseling dan sokongan psikososial oleh UPNM.

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pihak Kementerian memandang serius isu ini dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” katanya.

Mangsa, Zulfarhan Osman, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun lepas, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakan pada 22 Mei lalu.

Mangsa dilapor mengalami kesan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap.

Berikutan kes itu, 13 penuntut terbabit yang kesemuanya berumur 21 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada 14 Jun lepas bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan 13 tertuduh, masing-masing diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Julai untuk sebutan semula kes itu.

Berkaitan kes sama, selain mereka, lima lagi penuntut UPNM turut dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi didakwa bersubahat bersama lima tertuduh membunuh Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman serupa.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula kes itu membabitkan enam penuntut itu.

The post KPT perjelas sebab 13 penuntut UPNM dibenar sambung belajar appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian