Pengusaha kantin ditamat kontrak tak penuhi syarat: Politeknik
BUKIT MERTAJAM, 6 Syawal 1438H, Jumaat – Kontrak pengendali gerai makanan di Politeknik Seberang Perai (PSP), di sini G Gopi Krishnan yang tular kononnya ditamatkan oleh politeknik itu kerana beliau bukan Islam adalah tidak benar.
Sebaliknya, menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Jabatan Pendidikan Politeknik, permohonan peniaga itu ditolak selepas ia didapati tidak memenuhi syarat dan kriteria yang termaktub dalam spesifikasi sebut harga iaitu tidak mempunyai Kod Bidang 040103 Makanan Bermasak Islam.
Menurut kenyataan itu, selain Gopi Krishnan, dua pengusaha kantin Melayu yang beroperasi hampir 10 tahun di PSP turut ditamatkan kontrak kerana tidak memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan, manakala seorang lagi pengusaha menarik diri kerana tidak berdaftar dengan Kementerian Kewangan.
“Secara jelasnya tiada unsur pilih kasih atau diskriminasi perkauman seperti yang didakwa. Pemilihan dilakukan secara telus dan bertanggungjawab oleh Jawatankuasa Penilaian Sebut Harga. Jawatankuasa tersebut tidak dimaklumkan nama syarikat dan siapa yang mengambil bahagian dan pemilihan adalah berdasarkan nombor kod penender sahaja,” kata kenyataan itu.
PSP juga terbuka untuk berbincang dengan pihak ketiga yang mungkin tidak memahami atau mendapat maklumat sahih berhubung isu itu.
Semalam Gopi Krishnan, 45, mengadakan sidang media bersama Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy bagi meluahkan rasa tidak puas hatinya selepas kontrak beliau tidak diperbaharui oleh PSP.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan, Gopi Krishnan mendakwa dia diminta memeluk Islam jika mahu meneruskan perniagaan.
Bekas jurutera berusia 45 tahun itu mendakwa ketua pentadbiran PSP, yang kini sudah bersara, mengarahkan dia bersama isterinya, Khor Hong Geik, untuk menerima Islam, lapor portal berkenaan, semalam.
Bagaimanapun, portal liberal itu mengaku kesilapan laporan berita mereka yang secara tidak sengaja tersilap memetik kenyataan dibuat Gopi Krishnan mengenai isu ini.
“Selepas mendapat penjelasan beliau sebenarnya tidak dipaksa memeluk Islam sebaliknya sekadar diberitahu supaya memeluk Islam. Segala kesilapan dan kekeliruan amat dikesali,” kata Nota Editor Malaysiakini, dalam berita disunting bertajuk ‘Saya disaran peluk Islam, dakwa pengendali kantin politeknik’. – Bernama
Islam mangsa Malaysiakini siar laporan salah pengendali kantin ‘dipaksa’ jadi muslim
The post Pengusaha kantin ditamat kontrak tak penuhi syarat: Politeknik appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan