Apandi bohong, tak tahu apa-apa, patut berhenti jadi Pendakwa Raya: Tun M
BANGI, 2 Zulkaedah 1438H, Rabu – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui mengetahui isi kandungan laporan Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara. Sebab itulah beliau berani mencabar Tan Sri Mohamed Apandi Ali bersumpah, kerana beliau tahu Peguam Negara berbohong.
Katanya, beliau mengetahui isi kandungan laporan Bank Negara kerana Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Gani Patail menunjukkannya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Malah, beliau berkata, dalam ucapannya sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin sering menyebut berkenaan laporan yang ditunjukkan oleh Gani Patail sebelum dipecat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Dan kepimpinan PPBM, termasuk saya telah bincang laporan-laporan ini. Sebab itu saya tahu. Saya tidak akan cabar Apandi bersumpah jika saya tidak tahu kandungan laporan. Saya tahu A.G. Apandi bohong, sebab itu ia letak laporan itu di bawah Akta Rahsia Rasmi. Kami tahu dan Tuhan lebih tahu. Jika berani bersumpahlah,” katanya.
Menulis dalam blog beliau hari ini, Tun Dr Mahathir berkata, wang tidak boleh dipindah daripada satu tuan punya kepada tuan punya yang lain tanpa surat menyurat dan wang yang berjumlah berbilion-bilion ringgit tidak boleh disimpan sebagai wang tunai.
“Ia perlu disimpan dalam bank. Jika melalui bank, bank juga akan masuk dalam buku akaunnya semua butir-butir berkenaan tuan punya, jumlah, matawang, haribulan, cek, bahkan kedudukan kewangan dan punca kekayaan orang yang menderma, atau membayar, atau membeli.
“Juga akan disebut nama penerima, haribulan, dan segala transaksi yang melibat wang berkenaan. Tidak mungkin wang tunai sebanyak itu diguna. Semua transaksi mengguna cek. Dan segala-galanya ditulis dalam cek berkenaan, dan buku akaun bank. Satu surat dari pemilik asal tidak mencukupi. Siapa sahaja boleh tulis surat seperti ini.
“Dokumen-dokumen lain perlu ditunjuk sebagai bukti kebenaran kenyataan kedua-dua pihak, pemilik, penerima, bank yang mengeluar dan bank yang menerima. Setakat ini dokumen-dokumen ini tidak ditunjuk sebagai bukti. Sesungguhnya pemindahan wang yang begitu banyak perlu direkod dalam berjela-jela kertas,” katanya.
Namun, beliau berkata, dalam kes RM2.6 billion yang ada di dalam akaun Najib di Ambank, selain daripada kononnya pengakuan oleh penderma Arab, tidak ada dokumen lain untuk membuktikan kesahihan pemindahan wang yang begitu banyak kepada Najib.
“Kita juga perlu diberitahu bagaimana duit ini diperolehi oleh Arab kaya ini. Tentulah ia memiliki jauh lebih banyak dari duit yang diberi. Cakap mulut Arab, Najib dan A.G. tidak cukup untuk menyakini mahkamah atau orang ramai berkenaan punca USD 681 million yang masuk dalam akaun Najib. Juga bahagian yang kononnya dikeluar,” katanya.
Tun Dr Mahathir berkata, sebaliknya Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat memberi keterangan mencukupi berkaitan pengaliran wang daripada 1MDB kepada beberapa syarikat dan bank di Cayman Island, British Virgin Islands, Singapura dan akhirnya ke dalam akaun Najib di Ambank yang kemudian melalui beberapa bank dan syarikat kepada Jho Low.
“Jika DoJ membohong, samanlah jabatan ini. Tetapi Apandi atau Najib tidak saman walaupun tuduhan itu kena pada batang hidung mereka. Jikalau Apandi tidak tahu semua ini ia patut berhenti dari jadi Pendakwa Raya (AG). Bahawa dia masih pegang jawatan penting ini ialah kerana dia melindung dan dilindungi oleh Najib.
“Sesungguhnya satu lagi Royal Commission of Inquiry perlu diadakan untuk selidik kes ini. Jikalau isu tiga puluh tahun dahulu perlu disiasat kenapakah jenayah terkini disembunyi. Berani kerana benar. Jika takut menubuh RCI untuk ini, sebabnya tentulah kerana salah,” katanya.
The post Apandi bohong, tak tahu apa-apa, patut berhenti jadi Pendakwa Raya: Tun M appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan