Bahaya menggunakan hujah pseudo-saintifik untuk pertahan mazhab fiqh berkenaan anjing

SEHARI dua ini, ramai golongan anti-pegang-anjing, menggunakan bencana yang sedang melanda negara saat ini — berhubung penularan wabak rabies — sebagai menyokong kenajisan anjing. Wabak rabies ialah wabak yang sangat berbahaya, lantas ia dijadikan sebagai alasan yang kononnya “saintifik” untuk menyokong hukum larangan / kenajisan memegang anjing dalam mazhab Syafie.

Sampaikan ustaz dan tokoh ilmuan pun ada yang menggunakan alasan sebegini; manakala ada sesetengahnya menyindir secara sarkastik jika ada yang berani memegang anjing gila.

Sebelum meneruskan, saya kena tekankan bahawa saya BUKAN hendak berkempen supaya kita semua memegang anjing; itu sama sekali bukan niat saya, bahkan sebagai orang awam yang bermaqam muqallid, saya pun sememangnya bertaqlid kepada Mazhab Syafie dan saya terima pandangan mazhab ini sebagai terpakai kepada diri saya. Sebaliknya, saya cuma hendak menekankan betapa menggunakan hujah pesudo-saintifik seperti ini bagi menjustifikasikan pandangan dalam perkara-perkara yang bersifat cabang (dan sama sekali bukan perkara pokok) dalam sesuatu mazhab fiqh, adalah sangat berbahaya. Ia adalah justifikasi yang sangat lemah dan caca-marba jika dicermati dari disiplin logik.

Pertamanya, kalau betullah larangan memelihara anjing dalam mazhab Syafie (dan kenajisannya sebagai najis yang berat) adalah bertunjangkan kepada alasan bahawa anjing membawa penularan wabak berbahaya, maka bagaimana pula kita hendak letakkan pandangan dalam mazhab yang sama berkenaan dengan dibolehkan untuk memelihara anjing bagi tujuan berburu; dan dibolehkan juga memakan hasil buruan yang diburu oleh anjing? Tidakkah ini akan menjadi suatu percanggahan yang sangat fatal, kerana makanan dari hasil buruan anjing tentulah juga boleh dijangkiti dengan wabak rabies (jika benarlah justifikasi kenajisannya dalam Mazhab Syafie adalah bertunjangkan alasan wabak penyakit).

Keduanya, wabak rabies tidak hanya wujud dalam spesis anjing, tetapi juga haiwan-haiwan lain, termasuk kucing. Jadi bagaimana pula kita hendak letakkan riwayat-riwayat tentang betapa Nabi saw sangat menyayangi kucing, sedangkan dari segi saintifik, jika berlaku penularan wabak rabies, kucing juga boleh dijangkiti dan menjadi sumber kepada penularan wabak tersebut? Bahkan dilaporkan bahawa kejadian rabies di Amerika Syarikat kebanyakannya adalah dari spesis kucing, dan bukannya anjing.

Ketiganya, jangankan wabak rabies, bahkan negara kita juga pernah dan telah menghadapi ancaman beberapa wabak lainnya. Contohnya wabak selsema burung yang melibatkan ayam dan unggas, sehingga menyebabkan puluhan ribu haiwan tersebut terpaksa dimusnahkan untuk mengekang wabak itu daripada berterusan menular. Justeru, adakah kita juga perlu menjadikan ayam dan unggas sebagai najis, dan tidak dibenarkan menyentuhnya, memeliharanya, apatah lagi memakannya?

Menggunakan hujah-hujah pesudo-saintifik yang caca-marba bagi mempertahankan agama, walaupun niatnya barangkali baik, sebenarnya lebih akan merosakkan agama.

Sekali lagi saya nak tekankan, bahawa saya bertaqlid kepada mazhab Syafie, dan sama sekali tidak berniat untuk berkempen supaya masyarakat Islam beramai-ramai memegang anjing; tetapi dalam masa yang sama, dalam pada kita berpegang kepada mazhab Syafie pilihan kita, kita juga harus berlapang dada dan terbuka, dan tidak boleh memaksa jika ada yang ingin berpegang kepada mazhab Maliki, (bahawa anjing bukanlah najis dalam Mazhab tersebut), kerana mazhab Maliki juga adalah mazhab yang muktabar. Soal kenajisan ini adalah perkara cabang, yang tak seharusnya kita berbalah dalam isu kecil seperti ini. Dan yang lebih utama lagi, jangan kita menangguk di air yang keruh dengan menggunakan bencana yang sedang melanda negara untuk menjustifikasikan pandangan kita dalam perkara furu’.

Sesungguhnya Allah lebih mengetahui.

(II)

Gambar cuma gambar hiasan, diambil sewaktu saya dan rakan-rakan trekking di Nepal, di kawasan Langtang, pergunungan Himalaya, hujung tahun lepas. Anjing ini muncul pada hari pertama kami trekking, datang entah dari mana, dan entah atas sebab apa, dia mengkor sahaja kami dari sehari ke sehari, dan terus setia mengikut kami semakin tinggi kami mendaki. Bila kami jalan, dia jalan; bila kami berhenti, dia berhenti. Lantas kami pun berikan nama kepada dia, Chiko (sesetengah dari kami ada yang panggil Ciku).

Sebagai manusia, tentulah ada juga timbul rasa kasihan, jadi kami akan tinggalkan sedikit makanan setiap kali sarapan, makan tengah hari dan makan malam, untuk diberikan kepada Chiko. Dan ada satu malam tu, di kawasan melebihi 4,000 meter dan cuaca amat sejuk di bawah takat beku, kami benarkan dia tidur dalam lodge (tapi di luar bilik). Dalam masa yang sama, had dan limit dalam kenajisan tentulah sentiasa dijaga. Tak sekali pun saya sentuh dia, dan seingat saya, ada salah seorang daripada kami terkena air liurnya, dan terus cari tanah dan air untuk sertu (bahasa biasa, samak).

Paling menyentap hati, ketika hari terakhir kami trekking, dan kami sampai ke jalan dan menaiki lori, Chiko mengejar kami dari belakang selama hampir 30 minit. Demikian taat dan setianya dia.

Aidil Khalid
Aktivis i-Peguam

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Bahaya menggunakan hujah pseudo-saintifik untuk pertahan mazhab fiqh berkenaan anjing appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian