Beza antara ulama dan pendita

Tiap agama mempunyai ahli agama masing-masing. Namun, kita mesti memahami bahawa ciri ulama Islam berbeza besar dari ahli-ahli agama atau pendita agama-agama lain.

Perbezaan ini berdasarkan hakikat bahawa hanya Islam sahaja mempunyai sandaran atau rujukan Wahyu berwibawa berupa Al-Quran dan Al-Hadis, sedang agama-agama lain tidak ada sandaran Wahyu yang sahih. Lawan kepada Wahyu, adalah nafsu.

Dalam agama-agama lain, apabila seseorang telah mencapai tahap atas tertentu sebagai ahli agama, pendita atau rijaluddin, tanpa rujukan berwibawa, mereka lah satu-satunya sumber hukum. Maka mereka boleh berfatwa tanpa rujukan. Kerana itu apabila berlalu zaman, akidah agama-agama lain lari jauh dari aqidah asal. Sebagai contoh, aqidah Trinity (Tuhan adalah 3 dalam 1) diwartakan dalam Nicene Creed pada tahun 325M oleh First Council of Nicaea sesuka hati mereka tanpa rujukan berwibawa.

Itu ajaran Kristian yang sekurang-kurangnya ada Al-Kitab, walaupun diselewengkan. Cubalah kita bayangkan agama-agama selain Islam yang tidak memiliki kitab rujukan berwibawa. Sudah tentu akan lari jauh dari aqidah asal dengan berlalunya masa.

Adapun dalam Islam, pandangan dan fatwa para ulama nya adalah terikat dan mesti berdasarkan Al-Quran dan Al-Hadis.

Para ulama hanya berperanan menggunakan kebolehan mereka memahami Al-Quran dan Al-Hadis untuk mengeluarkan sesuatu hukum. Menjadi “ulama” dalam Islam, bukan tiket untuk mengeluarkan sebarang hukum tanpa mempunyai sandaran nas dari Al-Quran, Al-Hadis, Al-Ijmak atau Al-Qias mengikut tertib.

Oleh itu, dalam Islam, apabila membaca fatwa atau pandangan ulama, budaya kita adalah melihat dalil-dalil yang dibawa oleh setiap orang dari ulamak tersebut dan menilai sedekat mana tiap seorang mereka mampu berhujah dengan dalil-dalil tersebut (istidlal) untuk mengeluarkan hukum.

Kesimpulannya, dalam memahami dan merasa tenang atau yakin terhadap sesuatu hukum yang baru dikeluarkan:

(1) Pendita bukan-Islam lebih melihat kepada taraf sesiapa sahaja pendita yang mengeluarkan hukum tersebut. Kesimpulannya, lihat kepada orang yang mengeluarkan hukum.

(2) Ulama Islam lebih melihat dalil-dalil Al-Quran dan Al-Hadis yang dibawa dan menilai cara penghujahan dalil-dalil itu (istidlal) oleh sesiapa sahaja ulama yang mengeluarkan hukum. Kesimpulannya, lihat kepada dalil dan cara penghujahan orang yang mengeluarkan hukum.

 

Ustaz Abdul Halim Abdullah

The post Beza antara ulama dan pendita appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?