Menutup mulut Abu Lahab dan Ahok Malaysia
Hak eksklusif umat Islam untuk menguruskan sendiri agama Islam mesti dikembalikan
MULANYA Pedang nak tulis berkenaan peribahasa ‘Berani kerana benar, takut kerana salah’, Makna mudahnya ialah orang yang bersalah akan berasa takut, sementara orang yang tidak bersalah akan bersedia menghadapi kenyataan.
Tapi, Pedang rasa ada isu lain lebih penting yang mengheret minda pembaca ke satu penjuru yang ada kaitan dengan jurus undang-undang Islam atau syariah. Maka, Pedang tinggakan dahulu ketakutan orang yang melakukan kesalahan dan keberanian mereka yang benar untuk perbicaraan di lain masa.
Beberapa hari lalu, tepatnya 21 Julai lalu, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, telah membuat satu cadangan terbaik bagaimana umat Islam di negara ini – Malaysia menjadikan agama Islam sebagai agama Persekutuan – patut menguruskan sendiri hal ehwal agama Islam.
Malah, kenyataan beliau bahawa umat Islam di Malaysia tidak memiliki hak eksklusif untuk mentadbir hal ehwal agama sendiri, ternyata benar, sedangkan Perlembagaan Persekutuan telah mematerinya mengikut Perkara 11 (3) dan Perkara 11 (3) (a).
Hak eksklusif umat Islam untuk menguruskan sendiri agama dibawa Nabi Muhammad SAW ini, mesti dikembalikan. Umat Islam adalah penduduk majoriti di Malaysia.
Orang kafir tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan hal-hal berkaitan Islam, khususnya hukum syariah, kerana mereka tidak percaya kepada Allah Tuhan Yang Satu.
Sebaliknya, dalam sistem yang diamalkan sekarang, apa sahaja yang hendak dilakukan, contohnya penubuhan sesuatu jabatan berkaitan Islam, rang undang-undang Islam, sehingga sekecil-kecil urusan untuk menyalurkan bantuan kepada umat Islam, mesti terlebih dahulu dibawa ke Dewan Rakyat, Dewan Negara atau Dewan Undangan Negeri (DUN), untuk dibincangkan.
Lalu, kesempatan itu diambil oleh Abu Lahab yang duduk di dalam ketiga-tiga dewan itu untuk mencerca, menghina atau mempertikaikannya, sebagaimana yang berlaku terhadap rang undang-undang bagi memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah, sedangkan RUU355 itu langsung tidak ada kena mengena dengan kafirun.
Inilah yang dikatakan umat Islam Malaysia tidak memiliki hak eksklusif untuk menguruskan agama sendiri. Seperti yang berlaku ke atas Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis. Jordan menjadi penjaga tanah suci itu, tetapi yang berkuasa sepenuhnya hingga boleh membatalkan solat Jumaat di Al-Aqsa ialah rejim Zionis Israel.
Bukan setakat Abu Lahab saja yang ada di Dewan Rakyat, tapi ramai lagi ‘Ahok’ di luar sana yang berani masuk campur dalam urusan pentadbiran agama Islam.
Ahok-Ahok dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), seperti Hokkien dan Hindraf, serta parti politik MCA, MIC, Gerakan, DAP dan sealiran dengan mereka, berani juga pertikai undang-undang Islam.
Eh! Awak siapa? Sedarlah diri dahulu. Rasanya, kalaulah Malaysia ini menjadi Indonesia, sudah lama Abu Lahab dan Ahok-Ahok ini ‘hilang’.
Zainul Rijal bukan sahaja bercakap kosong sebaliknya beliau memberi cadangan bagaimana untuk mengelak Abu Lahab, Ahok dan konco-konco mereka campur tangan dalam urusan Islam, tanpa perlu meminda Perlembagaan Persekutuan.
Sekarang, semua undang-undang mesti melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara (yang turut dianggotai oleh Abu Lahab serta konco-konconya) sebelum dikuatkuasakan.
Cadangan Zainul Rijal ialah:
* Rang undang-undang khusus mengenai agama Islam didrafkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil/Syarak Jakim atau badan yang mahir berkenaan hukum syarak. Kemudian diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk format penggubalan;
* Membawa rang undang-undang itu kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dan Majlis Raja-Raja untuk perkenan; dan
* Dibentangkan kepada jemaah menteri hanya untuk pengesahan tanpa perlu dibahaskan, termasuk ketika dibentangkan untuk bacaan pertama dan kedua di Dewan Rakyat, kerana sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Ringkasnya, semua cadangan bagi melaksanakan sebarang undang-undang berkaitan Islam dipersembahkan terlebih dahulu bagi mendapat perkenan Majlis Raja-Raja atau Yang di-Pertuan Agong, kemudian baru dibentang kepada Kabinet serta Dewan Rakyat.
“Ia bertujuan mengelakkan perbahasan tentang Rang Undang-Undang Islam oleh orang bukan Islam termasuklah orang Islam yang tidak mempunyai ilmu undang-undang Islam.
“Dengan cara ini, bukan muslim tidak lagi boleh mencampuri urusan agama Islam dan orang Islam dapat mentadbir agamanya mengikut acuan Islam itu sendiri. Ia memberi kesan kepada Perkara 11 (3) untuk orang Islam mentadbir agamanya secara eksklusif, terlaksana dan bebas daripada campur tangan pihak-pihak tertentu,” kata Zainul Rijal.
Sebagaimana beliau, Pedang juga tidak dapat menerima jika sesuatu rang undang-undang berkaitan Islam dibincangkan oleh orang kafir.
Malah, muslim sendiri yang kurang mengetahui atau tidak belajar secara mendalam mengenai Islam, juga tidak wajar bercakap mengenainya kerana kadang-kala boleh mendatangkan fitnah atau terpesong daripada al-Quran dan hadis.
Namun, Pedang yakin ada pihak yang mempertikaikan cadangan itu dengan memberi pelbagai alasan. Apa salahnya jika laksanakan dahulu cadangan itu. Kita ada pakar undang-undang yang serba boleh, termasuk pakar-pakar yang menyembunyikan jenayah rasuah atau mencuri.
Kata Pedang: Jangan menggunakan alasan ‘fitnah’ untuk menghalang orang ramai bercakap sesuatu, mencari kebenaran, sekali gus membongkar kejahatan.
Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.
The post Menutup mulut Abu Lahab dan Ahok Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan