Pasca Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan Isma 2017 – Catatan Yang di-Pertua Isma KL
Asslamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Mesyuarat Agung ISMA yang ke 15 sudah hampir seminggu berlalu, acara ini begitu penting kerana ia menjadi panduan kepada ahli dalam melangkah ke hadapan membawa inspirasi pimpinan dalam mendokong aspirasi ISMA.
Dengan motto “Bersedia Menghadapi Cabaran” Ustaz Abdullah dalam ucapan dasarnya mengariskan idea dan agenda besar yang perlu digarap dan dihazam sebaik mungkin oleh ahli bagi menghadapi cabaran ke hadapan yang begitu ruwet dan mencabar. Menurut Tuan Presiden “Kita perlukan stamina bagi menghadapi perjuangan yang panjang demi mengembalikan kemegahan dan kemulian yang hilang”.
Kita juga perlu mengatur langkah dengan cermat dan terus belajar dan mengulangkaji, sentiasa berfikir dan menilai supaya kita menjadi gerakan Islam yang sentiasa relevan dan unggul. Kita juga perlu memiliki pandangan strategik dengan membuat penyelidikan yang menyeluruh terhadap perubahan realiti yang berlaku, belajar dari pengalaman gerakan terdahulu serta mampu membuat bacaan masa hadapan.
Dari satu aspek yang lain peripentingnya kita membentuk tanzim organisasi yang kemas, berperancangan dan tersusun. ”Kebatilan yang tersusun dapat mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun”
Dari aspek tarbiah, tuan presiden mengingatkan ahli tentang kepentingan tarbiah yang dapat mengubah keadaan yang lemah kepada kuat, perlahan kepada laju, mundur kepada maju serta melahirkan sosok yang tahan lasak dan cekal. Tarbiah sewajarnya berorentasikan hasil, menambah ilmu dan kemahiran baru serta mengubah sikap dan penampilan sehingga melahirkan generasi yang mampu memikul tanggungjawab yang panjang.
Tuan Presiden menegaskan kembali tentang ciri-ciri kesiapsagaan yang perlu dimiliki oleh setiap ahli ISMA yang telah diutarakan sejak dua tahun lepas iaitu:
BERILMU DAN BERKETRAMPILAN
CEKAP DAN PROFESIONAL
GAGAH BERANI DAN BIJAKSANA
PINTAR DAN BIJAK BERBICARA
CEKAL DAN BERDISPLIN
SOPAN SANTUN DAN BERBUDI BAHASA
Akhirnya, kita perlu menanamkan dan menerapkan makna ribath (kesiapsagaan) dalam segala aspek niat dan amal kerja tarbiah dan dakwah kita.
“Wahai orang-orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (diperbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung” (Ali Imran:200)
Wassalam
Dr Osman Md Rasip
Yang di-Pertua Isma Kuala Lumpur
(tulisan ini ditulis selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan Ikatan Muslimin Malaysia 2017)
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan