Rakyat Malaysia tak kena bayar cukai pelancongan
KUALA LUMPUR, 2 Zulkaedah 1438H, Rabu – Rakyat Malaysia dikecualikan membayar cukai pelancongan bagi semua jenis hotel dan premis penginapan.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, langkah itu dibuat hasil daripada perjumpaan dengan banyak pihak berkepentingan dan selepas berbincang serta mendengar pandangan mereka.
Sebaliknya, cukai berkenaan hanya dikenakan terhadap pelancong asing yang tinggal di semua jenis premis penginapan pada kadar RM10 bagi setiap bilik untuk satu malam.
“Kadar sama rata hanya sebanyak RM10 akan dikenakan kepada semua pelancong asing daripada hotel yang bertaraf lima bintang sehingga tiada bintang membabitkan setiap malam dan bilik,” katanya menjawab soalan pada sesi sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Nazri berkata, kadar RM10 tidak membebankan pelancong asing kerana jika mengikut tukaran wang ringgit, ia hanya sekitar 2 euro atau AS$2.33 atau 1.80 pound sterling atau S$3.20 dolar.
Menjawab tarikh pelaksanaan cukai ini katanya, pada peringkat permulaan, Kabinet memutuskan bermula 1 Julai lalu tetapi kini terpulang kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia menentukan tarikh baharu.
The post Rakyat Malaysia tak kena bayar cukai pelancongan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan