Statistik jenayah PDRM perlu diaudit badan bebas

KUALA LUMPUR, 3 Zulkaedah 1438H, Khamis ― Pengauditan luar perlu dijalankan ke atas statistik jenayah yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengikis rasa sangsi orang awam mengenai ketepatannya.

Naib pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, audit oleh badan bebas itu bagi mengelakkan indeks jenayah yang dikeluarkan agensi keselamatan berkenaan dipersoal atau dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

“Kerajaan perlu menggunakan statistik untuk menimbulkan kesedaran orang awam terhadap jenayah sekaligus bersama-sama menanganinya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lee mengulas kenyataan timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam berhubung masyarakat masih menganggap kadar jenayah di negara ini tinggi, walaupun kadar indeks jenayah menurun 47 peratus sejak program transformasi dijalankan pada 2008.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata PDRM sebelum ini diiktiraf sebagai agensi keselamatan terbaik di negara Asean menerusi pelbagai usaha dilakukan dalam membanteras jenayah.

Selain itu, Lee menyarankan supaya PDRM mengambil tindakan segera ke atas setiap laporan jenayah yang dibuat serta menyelesaikannya sebaik mungkin.

“Kes-kes jenayah yang berjaya diselesaikan kepada orang ramai, perlu diuar-uarkan untuk meningkatkan keyakinan mereka,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya polis mendekatkan diri dengan masyarakat melalui penglibatan awam seperti pertubuhan bukan kerajaan dan Rukun Tetangga untuk mereka memahami isu.

Lee berkata memang tidak ada negara yang bebas sepenuhnya daripada jenayah.

“Setiap negara ada statistik jenayah dan sentiasa ada persepsi negatif masyarakat dan ini tidak menghairankan namun kita mesti menanganinya,” katanya. ― Bernama

The post Statistik jenayah PDRM perlu diaudit badan bebas appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?