Teruskan perjuangan agenda Islam anak muda


500 TAHUN dijajah bukanlah satu jangka masa yang pendek. Tempoh puaka ini telah cukup lama memadamkan sejarah keagungan dan kegemilangan, mencairkan jatidiri dan melupuskan identiti suatu bangsa yang pernah memerintah nusantara.

Kini setelah 60 tahun merdeka kita masih lagi mencari – cari solusi bagaimana untuk bangkit. Meski ada yang mengatakan bahawa untuk bangkit kita harus kembali kepada Islam, namun sayangnya ia masih terkongkong dalam tafsiran pemikiran Islam yang amat sempit. Kita terus melupakan sejarah perjuangan kelompok terdahulu.

Sejarah mengangkat maruah agama, bangsa dan Negara sudah dikoyakkan dari buku sejarah perjuangan tanah ini. Natijahnya perjuangan mengangkat agenda Islam hanya dibataskan pada isu-isu ‘good governance’ semata- mata tanpa mampu meletakkan halatuju dan gagasan Islam yang jelas dan berwawasan.

Menjadi lumrah rakyat jelata meletakkan harapan kepada yang memimpin. Yang sedia mempunyai kuasa atau yang sedang berusaha merampasnya. Dan berita duka buat seluruh saudara sebangsa, sedarah dan seagamaku bahawa kini telah tidak ada pada mereka yang punya kuasa atau yang sedang berusaha mendapatkan kuasa, yang masih meneruskan warisan perjuangan generasi terdahulu yang meletakkan gagasan dan agenda Islam dalam perjuangan mereka.

Dengan tinta ini, ingin aku zahirkan kekecewaan dan rasa sedih serta hiba ku atas apa yang menimpa bangsa ini. Atas pengkhiantan terus menerus yang dibuat keatas perjuangan mereka oleh politikus-politikus yang mabuk dan menagih kekuasaan ini.

Dan ingin aku lontarkan kepada kalian yang membaca tulisan ini , masihkah kepada mereka, kalian yang cintakan agama, bangsa dan Negara ini meletakkan harap dan keinginan? Masihkah kepada mereka kalian letakkan keinginan untuk melihat kemuliaan agama ini? Masihkan pada mereka kalian letakkan harapan untuk terbentuknya Negara yang menjadikan islam sebagai identiti dan ruhnya? Sungguh kita bukanlah orang yang jujur dengan perjuangan nabi SAW jika kita masih berharap agar politikus sebegini yang akan memperjuangkan ini semua.

Wahai orang muda,

Agama memerlukanmu untuk memuliakan syiarnya. Tanah air memerlukanmu untuk menegakkan kedaulatannya. Bangsamu memerlukanmu agar ia mampu menjadi tonggak utama kebangkitan ini.

Perjuangan anak muda adalah perjuangan yang lahir dari rahim umat ini. Bukan perjuangan untuk merebut kekuasaan semata-mata. Apatah lagi perjuangan untuk menunjukkan siapa yang mampu mentadbir lebih baik. Tetapi lebih dari itu dalah perjuangan untuk kembali mengangkat, memuliakan serta mendaulatkan agenda agama ini.

Dunia sedang menyerang islam dengan seluruh kekuatan yang ada. Mana-mana Negara yang berpegang kepada prinsip Islam akan menjadi musuh mereka dan termasuk dalam senarai yang akan dikucar kacirkan. Setiap Negara yang enggan menunjukkan ketundukan kepada nilai Liberty, Equality dan Fraternity mereka akan terus diasak dan diganyang sehingga porak peranda.

Maka bagaimana wahai anak muda sekalian. Apakah caranya untuk kita kekal gah sebagai sebuah Negara yang mendaulatkan islam sekaligus menjadi rujukan kepada Negara- Negara Islam yang lain.

Apatah lagi apabila cubaan- demi cubaan Negara untuk berubah menjadi gagal. Lebih buruk lagi ia hanya menjadi pintu masuk kepata tangan-tangan pencatur kemusnahan yang lebih besar. Lihat sahaja apa yang telah terjadi kepada saudara kita di Mesir dan Syria.

Bagaimana harus kita bina kekuatan agar kita mampu menjadi benteng yang cukup kukuh terhadap serangan-serangan musuh sebegini. Apatah lagi dalam saat dimana dunia Islam menjadi huru hara dek kerana perperangan, kemusnahan harta benda, penghapusan etnik, perampasan kuasa dan tanah air dan ada dikalangan mereka yang masih mundur dan ketinggalan.

Jika sebelum ini usaha peng’Amerika’an turut menjadikan tanah melayu sebagai mangsanya, kini usaha-usaha peng’China’an pula menjadi satu lagi cabaran besar untuk survival islam dan tanah air ini.

Saban hari peluasan kuasa China di tanah keramat ini semakin melebar. OBOR mereka semakin marak menenggelamkan cahaya asal Negara ini. Ini bukan isu kontrak dan perniagaan atau ekonomi semata-mata, tetapi juga soal budaya dan cara hidup yang cuba diserap masuk ke dalam negara ini.

Memburukan lagi keadaan kita di tanah air ini apabila para politikus dilihat semakin menjadi dokong yang membawa rebah. Menjadi gerombolan pegar yang menyerang padi yang sepatutnya menjadi hak buat umat ini.

Tidak pula ada usaha dikalangan mereka yang ingin menjadi pembentong agar mampu membulatkan air. Apatah lagi penyatu agar mampu menyatukan rakyat. Masing-masing gah menjulang manifesto yang dilunakkan agar mampu memberi harapan kepada rakyat namun hakikatnya bakal mengenyangkan diri mereka sendiri.

Dan akhirnya rakyat kini terus tersepit antara kefasadan pemerintah dan pakatan pembangkang yang terus celaru. Masa depan sendiri pun belum tentu terjamin apatah lagi masa depan agama dan untung nasib bangsa dan tanah air ini.

Wahai anak muda,

Jika ditanya orang apakah agenda Islam, maka inilah agendanya dalam realiti umat masa kini. Jika ditanya apakah membasmi rasuah termasuk dalam agenda ini. Maka jawabnya juga ya.

Namun, bukan kerana ia mampu menjadi senjata buat menjatuhkan lawan tetapi kerana ia merupakan satu keperluan dan tuntutan agama itu sendiri sebagai tanda ketundukan pada perintah Allah swt.

Mengambil sebahagian dari islam tidak bermaksud menjadi Islam seluruhnya. Apatah lagi sekiranya nilai itu hanya disandarkan pada faham dan nilai kemanusiaan sejagat semata-mata bukan atas dasar ketundukan pada Yang Maha Esa.

Maka, atas silap faham inilah menentang rasuah pasti diterima dan dicanang sebagai agenda Islam namun memperkukuh undang-undang syariah dan juga kuasa mahkamah syariah pasti akan ditolak mentah-mentah.

Barangkali tidak ada lagi barisan pengharapan buat generasi ini. Semuanya terserah kepada kalian generasi anak muda yang seharusnya mencorak perjuangan rakyat masa kini. Ternyata sifat mengharapkan kepada usaha orang lain telah menjadi barah dalam sejarah perjuangan umat ini.

Suatu ketika dahulu kita fikir inggeris akan membebaskan kita, namun akhirnya kita tertipu. Kita fikir Jepun akan membawa matahari baru buat tanah ini, akhirnya kita terus berada dalam kegelapan yang amat dasyat. Pernah juga kita melihat komunis sebagi wira dan penyelamat namun akhirnya kita sedar bahawa kita terus disembelih oleh mereka.

Setelah merdeka, kita terus berdepan dengan penghancuran identiti, kecairan jatidiri dan cenderung untuk melepaskan tanah air ini kepada orang lain. Kesan dari parahnya bergantung kepada usaha orang lain. Dan mulai hari ini barah ini harus di buang. Harus dibersihkan sehingga ke akar umbi.

Jadilah kita anak muda yang kembali mewarisi perjuangan generasi terdahulu dalam sejarah keagungan tamadun kita. Kita akan terus belajar dari kesan dan sisa – sisa perjuangan yang masih ada dan kembali menyambung risalah perjuangan mereka. Kita harus memperlengkapkan diri untuk satu perjuangan yang panjang. Dan kita sedar berjuang itu bererti berkorban. Dan pengorbanan itu akan kita angkat sebagai kemuliaan buat diri kita.

Kita akan terus membongkar rahsia perjuangan umat terdahulu sebagai bekalan melengkapkan diri untuk perjuangan masa kini dan akan datang. Ambillah ruang dan masa yang kita ada ini untuk kita terus mengkaji dan menghidupkan sejarah perjuangan dan menilai secara bebas apa yang betul dan apa yang salah.

Wahai anak muda,

Sudah penat kita menopang nasib di pohon yang reput. Seringkali dahannya sekah, akar terbungkam. Kini masa untuk kita menjadi pohon buat umat ini. Menjadi tempat teduh untuk mereka hidup. Menjadi tempat mereka menyinggah mengutip bekal dan kekuatan. Menjadi sumber untuk umat melakar masa depan agama, bangsa dan Negara.

Setelah 500 kita dibenam dalam lipatan sejarah kini kita harus lebih berani menggalas amanah, bebas menetukan halatuju dan agenda perjuangan serta bergerak dengan lebih professional di tengah masyarakat. Bukankah itu aspirasi pemuda isma?

Asmadi Abdul Samad
Timbalan Ketua Pemuda Isma

The post Teruskan perjuangan agenda Islam anak muda appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian