Berbasikal Aktiviti Bermanfaat
Pada era moden masakini, penyakit kronik hasil gaya hidup tidak sihat seperti kencing manis, penyakit jantung, strok dan sebagainya sedang berkembang pesat hasil ketidakseimbangan antara pengambilan makanan yang berlebihan serta kurangnya aktiviti senaman. Maka adalah perlu untuk dititikberatkan tentang faedah senaman sebagai salah satu daripada strategi gaya hidup sihat untuk mencegah penyakit kronik gaya hidup tidak sihat.
Senaman mempunyai pelbagai bentuk dan jenis. Ada yang berimpak tinggi dan ada yang berimpak rendah. Ada yang berbentuk intensif dan ada yang berbentuk santai. Antara salah satu kaedah senaman yang fleksibel adalah berbasikal.
Berbasikal adalah satu bentuk senaman yang popular. Ianya sesuai untuk semua golongan dan peringkat umur. Ianya juga sesuai untuk pesakit-pesakit kronik yang tidak mampu untuk melakukan senaman berimpak tinggi seperti pesakit obesiti, radang sendi tulang (osteoarthritis) dan banyak lagi. Ianya juga bersifat santai dan boleh dilakukan sebagai acara kejuaraan. Kita sebagai rakyat Malaysia bersyukur kerana mempunyai jaguh basikal negara iaitu Azizulhasni Bin Awang yang berjaya mencapai kejuaraan di peringkat dunia.
Antara manfaat bersenam menggunakan basikal ialah:
1) Mengurangkan risiko penyakit kronik
Berbasikal amat baik untuk untuk mengurangkan risiko mendapat tekanan darah tinggi, diabetes dan serangan jantung. Berbasikal meningkatkan pengaliran darah ke jantung. Peningkatan aliran darah membuatkan jantung memiliki oksigen yang mencukupi dan membantunya untuk berdegup dengan lebih baik. Keadaan ini secara tidak langsung akan mengurangkan risiko serangan jantung.
Terdapat kajian yang mendapati berbasikal amat sesuai untuk diamalkan oleh penghidap radang salur paru-paru (bronchitis) dan lelah (asthma) kerana keupayaannya dalam meningkat dan memperbaiki fungsi paru-paru.
Selain itu, berbasikal turut menguatkan sistem imunisasi tubuh badan. Malah masalah kesukaran tidur (insomnia) juga dapat diatasi menerusi senaman berbasikal kerana ia mampu meningkatkan kualiti tidur individu.
2) Menurunkan paras kolestrol
Pergerakan otot-otot paha, lengan dan pinggul membuatkan aktiviti berbasikal adalah berkesan dalam menurunkan paraskolesterol yang terdapat dalam tubuh. Hanya dengan melakukan senaman berbasikal sebanyak 3 kali seminggu, dijangka paras kolesterol yang tinggi dalam darah akan menurun ke paras yang normal.
3) Merawat radang sendi (arthritis)
Berbasikal tidak memberikan tekanan yang tinggi kepada sendi atau tulang rawan berbanding senaman berimpak tinggi yang lain. Sebaliknya ia membantu menyihatkan otot dan sendi terutamanya pada kaki dengan gerakannya yang berupaya untuk menguatkan tulang rawan dan ini secara tidak langsung dapat membantu merawat dan mengurangkan risiko sakit dan bengkak di bahagian sendi.
4) Menguatkan tulang
Berbasikal secara rutin membantu menguatkan tulang terutamanya anggota bahagian bawah badan dan tulang belakang. Justeru, risiko untuk mengalami patah atau kecederaan tulang yang lain akan berkurangan. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa individu yang aktif berbasikal jarang mengalami patah tulang pinggul di usia tua. Selain itu berbasikal juga berupaya menguatkan tulang kaki dan merupakan antara pergerakan terbaik untuk pinggul dan sendi lutut. Kanak-kanak yang sedang mengalami proses tumbesaran amat digalakkan untuk melakukan senaman yang melibatkan kaki kerana ia bukan hanya mampu menguatkan kaki malah turut juga berupaya menjadikan mereka lebih tinggi.
Berbasikal di persekitaran terbuka membuatkan individu terdedah kepada cahaya matahari. Sinaran matahari terutamanya di waktu pagi kaya dengan vitamin D yang membantu mencegah penyakit tulang rapuh (osteoporosis).
5) Merehatkan minda dan memperbaiki mood
Seperti senaman lain, berbasikal akan mengeluarkan hormon endorfin sekali gus mengusir keluar segala perasaan negatif seperti stres dan tekanan perasaan. Perembesan keluar endorfin bukan hanya memperbaiki mood dan mengawal keseimbangan hormone individu bahkan menjadikan mereka lebih positif dalam menjalani kehidupan.
Aktiviti berbasikal juga didapati berkesan dalam merehatkan minda terutamanya jika berbasikal pada awal pagi atau lewat malam. Udara yang segar pada kedua-dua waktu ini mampu menenangkan fikiran sekaligus mengusir stres yang sedang dialami. Dalam masa yang sama ia turut meningkatkan kepekaan dan daya konsentrasi individu.
6) Nikmati keindahan alam
Antara satu kelebihan berbasikal ialah ianya membuatkan kita bersenam dan pada masa yang sama membawa kita melalui perjalanan yang samada dekat atau jauh bergantung kepada sasaran individu. Berbasikal melalui laluan yang berpemandangan yang menarik di sepanjang perjalanan menjadikan berbasikal menjadi aktiviti yang mengembirakan, terutamanya untuk individu yang mudah jemu dengan aktiviti senaman di ruang dan tempat yang terhad lingkungannya serta statik.
7) Mengeratkan silaturahim
Berbasikal boleh dikembangkan daripada peringkat individu hingga ke peringkat keluarga, komuniti atau masyarakat. Ianya boleh dijadikan sebagai suatu aktiviti keluarga dan komuniti yang menarik. Bukan itu sahaja, anda boleh mengajak ahli keluarga, kawan-kawan atau jiran tetangga untuk menyertai mana-mana kumpulan basikal atau program berbasikal untuk melakukan aktiviti ini secara bersama. Jauhnya perjalanan, kayuhan dan kepenatan yang dirasai ketika berbasikal pasti lebih kurang terasa jika aktiviti ini dilakukan secara bersama.
Akhir kata, berbasikal adalah antara senaman yang mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Pesanan kepada para pembaca, jagalah kesihatan diri dengan menjaga pemakanan yang seimbang serta bersenam secara berkala agar hidup kita lebih aktif dan lebih bermakna bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada agama, bangsa dan negara.
“Muslim Sihat, Islam Hebat”
-I-Medik Kelantan-
16 Ogos 2017.
Ulasan
Catat Ulasan