Pra dan paska kemerdekaan: Perjuangan Melayu tak pernah lentur
KEJATUHAN Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 merupakan saat berlakunya penentangan pertama orang Melayu terhadap penjajahan kuasa luar. Seterusnya penentangan diteruskan ketika penjajahan Belanda pada tahun 1641 dan Inggeris pada tahun 1786.
Penentangan ini disemarakkan lagi dengan campur tangan British dalam urusan pentadbiran tempatan.
Pejuang-pejuang seperti Tok Ku Paloh, serta anak-anak didiknya, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau telah membuktikan kegigihan bangsa dalam mengusir penjajah yang menginjak-injak Melayu melalui helah membina peradaban palsu.
Haji Abdul Rahman Limbong yang bijaksana telah mengalahkan penjajah dengan bahasa helah mereka sendiri dalam membela hak penduduk asal tanah ini. Tok Janggut telah mengorbankan dirinya dan mayatnya diarak ke seluruh kampung, membawa penghinaan pada anggapan British, walhal perarakan tersebut hanyalah satu kemuliaan yang menjadi sumbu perjuangan Melayu.
Melihat kepada aspek ekonomi pula, kita juga mengetahui bahawa pendatang dari China dan India dibawa oleh British secara beramai-ramai ketika zaman penjajahan atas alasan kemakmuran ekonomi.
Alasan ini digunakan untuk menjustifikasikan kemasukan pendatang dari China dan India, di samping memenuhi hasrat sebenar mereka untuk mengaut kekayaan Tanah Melayu melalui sektor perlombongan dan peladangan getah.
Dalam ‘Lapuran Banchi 1931’ menunjukkan jumlah orang Cina yang datang daripada tanah besar sangat banyak jika hendak dibandingkan dengan orang Melayu.
Ini dapat dilihat daripada peratus orang Melayu berbanding orang Cina, di mana di negeri-negeri Selat, iaitu Singapura, Pulau Pinang dan Melaka, jumlah orang Melayu seramai 25.6 peratus sahaja, manakala orang Cina yang dibawa oleh British sebanyak 59.6 peratus.
Akhbar Saudara pada ketika itu mengangkat beberapa krisis ekonomi yang berlaku terhadap orang Melayu. Bagaimanapun, menurut Ishak Haji Muhammad, 50 tahun sebelum akhir dekad 1920-an dan 1930-an kehidupan orang Melayu masih lagi maju, walaupun hasil buminya sudah dipunggah.
Kajian Auni Haji Abdullah dan Ahmad Jelani Halimi mendapati orang Melayu merupakan usahawan yang gigih berani, dan dihormati oleh penjajah Inggeris pada abad ke 19.
Namun, pada akhir dekad 1920-an dan 1930-an memperlihatkan masyarakat Melayu menjadi semakin mundur dan teramat ketara berbanding orang Cina, India dan juga Eropah. Dasar British yang pro kepada orang Cina telah memberi ruang kepada mereka untuk mengaut kekayaan di Tanah Melayu.
Hal ini menyebabkan orang Melayu tersingkir daripada arus kemajuan. Kebangkitan orang Melayu dalam mempertahankan hak mereka, terutama seruan-seruan supaya menyatakan hak melalui platform ekonomi dan politik telah menyebabkan orang Cina tidak berpuas hati.
Kini setelah 60 tahun mencapai kemerdekaan, haruslah kita merenung kembali pencapaian bangsa Melayu, dari sudut ekonomi. Walaupun terdapat peningkatan dari sudut taraf hidup, namun masih jauh terkebelakang dalam pemilikan ekonomi negara.
Jika peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang membanggakan diteliti dengan lebih mendalam, berapa peratus menjadi hak bangsa Melayu dan Bumiputera? Adalah fakta bahawa pemilikan orang Melayu terhadap tanah-tanah di negara ini, terutama di kawasan-kawasan maju, adalah terlalu kecil peratusannya.
Dalam keadaan sebegini, masih terdapat pihak-pihak tamak yang menyeru kepada kesamarataan, menuduh dengan tuduhan ‘institutional racism’ dan menuntut kepada penghapusan hak-hak serta kedudukan istimewa orang Melayu, termasuk orang Melayu sendiri yang telah mendapatkan kejayaan mereka melalui hak-hak dan keistimewaan ini.
Mereka seolah-olah memilih untuk menyambung perjuangan penjajah dan meludah ke atas pejuang bangsa terdahulu. Mereka ini harus dipastikan agar bersemuka dengan perjuangan Melayu yang jujur dan konsisten.
Dari segi bahasa pula, era pra merdeka ialah zaman yang memperjuangkan taraf atau status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Era Bahasa Melayu pra merdeka bermula dengan tertubuhnya Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) iaitu pada 6 Ogos 1950 hingga kepada kemerdekaan 1957.
Persatuan ini ditubuhkan di Singapura. ASAS 50 diasaskan oleh beberapa penulis Melayu Singapura dan sebahagian besarnya merupakan penulis dan pengarang Tanah Melayu yang terpaksa berhijrah ke Singapura akibat tekanan penjajah Inggeris terhadap kegiatan politik dan kreativiti mereka.
Antara tokoh penting ASAS 50 ini ialah Kamaluddin Muhammad atau KrisMas, Usman Awang atau Tongkat Waran, Masuri S.N., Mohd. Arif Ahmad atau MAS, Abdul Wahab Muhamad atau Awamil.
Sekarang ini, kita dapati bahawa bahasa Melayu sering diletakkan di kelas dua selepas bahasa Inggeris kerana dikatakan ketinggalan zaman dan tidak sesuai digunakan serta bukan melambangkan seorang yang berpendidikan dan berjawatan tinggi.
Namun, terdapat ramai pakar bahasa yang memperjuangkan bahasa Melayu antaranya, Prof Madya Dato Paduka Dr Mohd Rosli Saludin, Prof Emeritus Dr Asmah Haji Omar, Dr Lim Swee Tin dan Prof Datuk Dr Nik Safiah Nik Abdul Karim. Mereka giat berusaha memartabatkan bahasa Melayu agar setaraf dengan bahasa-bahasa lain di dunia.
Salah satu usaha yang perlu diberikan perhatian adalah penggunaan Bahasa Melayu di kalangan bukan Melayu, serta penerimaan mereka sebagai Bahasa Kebangsaan negara ini. Sebagai contoh, kajian daripada Prof Dr Sharon Carstens, Professor of Anthropology and International Studies di Portland State University (PSU) Amerika Syarikat, masyarakat Cina di Malaysia mempunyai perasaan negatif terhadap penggunaan Bahasa Melayu.
Di samping itu, kerajaan, NGO dan badan-badan korporat perlu juga memainkan peranan masing-masing dalam usaha meletakkan bahasa Melayu di persada dunia iaitu bahasa universal yang boleh difahami dan ditutur oleh kebanyakan masyarakat dunia.
Dalam aspek politik pula, semua sedar bangsa Melayu sedang huru-hara berpolitik kecuali mereka yang taksub dengan politik kepartian, tapi semua yang sedar ini seolah-olah tiada pilihan. Orang Melayu telah berpecah-belah disebabkan politik kepartian.
Ada yang setia kepada ideologi Barat walaupun berwajah Islamis, ada yang setia kepada wang ringgit walaupun berwajahkan nasionalis, ada yang tidak berprinsip atau pragmatik tetapi bertopengkan urus tadbir cekap.
Persamaan mereka semua adalah tidak setia kepada agenda agama dan bangsa bahkan bersekongkol dengan kelompok yang ingin melenyapkannya secara total daripada bumi perjuangan ini. Kepartian Islamis pula masih belum mampu menduduki kerusi kepimpinan, dengan kemampuan urus tadbir dan visi kebangsaan yang masih kabur.
Satu persoalan penting yang perlu dijawab oleh orang Melayu adalah, untuk apa kita berpolitik? Orang Melayu harus bertegas dalam menuntut hak dan berobjektif dalam politik kepartian agar pemimpin-pemimpin politik tidak begitu mudah berhelah dan menipu dalam mengejar cita-cita peribadi masing-masing.
Barang dagangan kelompok politik kepartian juga harus ditelitikan. Titah pemimpin tertinggi negara, iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seolah-olah diabaikan oleh pemimpin-pemimpin politik kepartian Melayu. Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang mengingatkan:
“Prinsip-prinsip asas, terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan. Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka. Ummah wajib berdiri teguh – berpendirian tegas, tidak berundur, walau setapak sekalipun,” dan;
“Perkara-perkara yang telah dipersetujui ketika penggubalan Perlembagaan Merdeka, menyentuh prinsip-prinsip asas, tidak harus diperdagangkan untuk tujuan meraih keuntungan politik jangka pendek.”
Apa yang kita dapat lihat adalah pemimpin politik kepartian yang malu-malu dan tidak bertegas dalam mempertahan identiti tanah air, bahkan sanggup menjadikannya sebagai barang dagangan demi meraih undi bukan Melayu. Dasar-dasar jelas mengenai identiti tanah air hanya tinggal sebagai dasar di atas kertas, tanpa keberanian untuk dilaksanakan secara penuh.
Oleh itu, kami berpendapat generasi pejuang bangsa yang jujur harus dibangunkan, yang bebas daripada budaya politik timbal balas, politik wang dan politik pragmatik.
Generasi ini harus dididik erti kesetiaan kepada agenda agama dan bangsa, dan bersikap dengan sikap yang positif bagi perjuangan pembangunan bangsa; berilmu dan berketerampilan, cekap dan professional, gagah, berani dan bijaksana, pintar dan bijak berbicara, cekal dan berdisiplin, sopan santun dan berbudi bahasa.
Dr Norzila binti Baharin (Ketua Biro Komunikasi Isma)
Asyraf Farique (Penganalisis IRIS)
Mohd Eqwan Mohd Roslan (Ketua Pembina)
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
The post Pra dan paska kemerdekaan: Perjuangan Melayu tak pernah lentur appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan