‘Aku Negaraku’ Membuka Mata Sukarelawan Remaja KRIM

KUALA LUMPUR,3 Muharram 1439H, Ahad – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Kuala Lumpur telah menganjurkan program ‘Sukarelawan KRIM : Aku Negaraku’ bertempat di Pusat Kawalan Kusta Negara pada hari semalam.

Bertemakan ‘Wajah Gemilang Remaja Malaysia’ dengan slogan ‘Selalu Bersama’, program ini telah disertai seramai 12 orang remaja berusia 16 tahun. Program ini bertujuan untuk melatih para remaja berkhidmat kepada masyarakat sebagai seorang sukarelawan.

“KRIM mengharap melalui program ini, peserta dapat menyemai nilai dan semangat sukarelawan dalam diri mereka. Pihak KRIM juga ingin mengajak lebih ramai remaja untuk bersama-sama berganding bahu, bekerjasama memperbaiki diri sendiri dan masyarakat. Banyak potensi yang ada pada seorang remaja yang boleh kita salurkan ke tempat yang betul kerana remaja adalah aset kepada negara pada masa hadapan”, kata Syed Fariq Fathullah selaku pengarah program ini.

Sebahagian besar masyarakat menganggap bahawa penghuni PKKN tidak boleh didekati kerana dikhuatiri penyakit kusta bakal menjangkiti mereka . Tetapi, program ini telah membuka mata para remaja bahawa itu hanyalah persepsi semata. Bekas pesakit kusta ini adalah golongan yang boleh didekati dan disentuh, tidak seperti yang digambarkan orang ramai. Mereka telah pulih daripada penyakit kusta sepenuhnya dan mereka sangat perlukan perhatian serta kasih sayang orang lain.

“Program ini telah membuka mata saya tentang penyakit kusta serta rawatannya dan menolak anggapan-anggapan buruk tentang bahayanya mendekati penghuni PKKN ini. Selain itu, ini merupakan pengalaman baru saya sebagai sukarelawan KRIM. Oleh itu, saya juga ingin mengajak lebih ramai kawan-kawan untuk menyertai program sukarelawan seperti ini”, luah Siti Athirah yang merupakan salah seorang peserta program ini.

Program ini disusuli dengan lawatan ke setiap wad untuk melihat sendiri keadaan penghuni wad tersebut. Terdapat 4 wad lelaki dan 4 perempuan di sana, dan rata-rata penghuni wad ini berusia 60 hingga 90 tahun. Para peserta sangat terkesan apabila melihat keadaan mereka yang kurang upaya tetapi mereka mampu mengurus dan menjaga diri sendiri tanpa meminta bantuan orang lain.

Oleh itu, Dr Barhati Nath dalam ucapannya juga menyeru lebih ramai lagi sukarelawan atau masyarakat setempat untuk menziarahi penghuni PKKN bagi menambahkan lagi keceriaan kehidupan penghuni ini dan melayan mereka seperti ahli keluarga sendiri.

Disediakan oleh:

Noraliza Maat
Ketua Pegawai Operasi KRIM Kuala Lumpur

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?