Kebiadaban Beer Festival 2017 dan khadam arak
SAYA pernah mengajar di sebuah sekolah Tamil di kawasan Kuala Lipis sekitar tahun 2004-2006. Pengalaman yang menarik dalam sejarah perguruan saya. Anak-anak di sekolah Tamil ini kebanyakannya cergas, aktif dan lasak. Mungkin suasana kehidupan di ladang getah membuatkan tingkah laku mereka begitu.
Ramai juga yang bijak-bijak. Menguasai bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris dengan baik.
Namun, sesuatu yang agak menyedihkan saya pada ketika itu ialah apabila saya melihat suasana kehidupan bapa-bapa mereka. Rutin si bapa pada setiap pagi akan berkumpul di bawah pokok di hadapan kedai runcit sambil meneguk samsu haram. Untuk yang berkemampuan sedikit mereka akan minum Carlsberg atau Guinness Stout sampai bertin-tin.
Kesudahannya, mereka akan mabuk dan tidak bekerja. Tinggallah si ibu yang menjinjit pisau getah dan baldi masuk ke ladang dan membanting tulang. Kasihan isteri dan anak-anak mereka.
Pernah berlaku beberapa kali beberapa orang daripada mereka yang meneguk samsu haram itu dimasukkan ke hospital akibat keracunan arak. Bahkan ada yang mati kerana kes tersebut. Namun masih tidak cukup untuk menjadi teladan kepada yang lain-lain.
Tidak hairanlah kes sebegini berlaku. Apatah lagi apabila melihat kepada data yang dibentangkan menerusi satu kajian yang menunjukkan arak menjadi punca kematian 3.5 peratus penduduk dunia. Meletakkan ianya sebaris dengan ancaman batuk kokol dan juga malaria. Lima kali ganda daripada punca kematian disebabkan dadah. Di India ianya menjadi punca utama kematian golongan muda
Baru-baru ini, telah wujud usaha untuk mempromosikan arak secara besar-besaran di tanah air kita. Dengan tajuk ‘Better Beer Festival 2017’, ianya seolah-olah cuba mengembalikan nostalgia kempen ‘Guinness Stout is good for you’ di Malaysia yang mempromosikan arak sebagai minuman yang dikaitkan dengan kekuatan seksual, kuasa dan kejayaan.
Ironinya kempen ini telah berjaya menarik orang Melayu daripada kelompok pekerja bawahan untuk meminum arak.
Entah apa tujuannya penganjuran festival ini pun saya tidak pasti. Dan, pastinya usaha tersebut tidak dapat diterima oleh akal waras seorang manusia yang jelas dan tahu mengenai bahaya arak. Yang pasti ianya selaras dengan strategi baharu syarikat pengeluar arak yang menjadikan negara sedang membangun sebagai lokasi strategik pasaran mereka.
Dalam satu tinjauan yang dibuat oleh Maria Assunta dari Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Asia, termasuk Malaysia menjadi sasaran syarikat-syarikat pengeluar arak untuk meluaskan pasaran mereka. Justeru, negara-negara ini khususnya Malaysia menjadi lokasi baharu untuk mereka menempatkan peruntukan pengiklanan mereka yang cukup besar.
Barangkali, mereka ini suka melihat anak-anak muda di Malaysia ini dirosakkan oleh arak yang disifatkan sebagai ibu segala maksiat ini.
Negara di Eropah sedang bergelut menyelesaikan isu remaja muda yang mula mengambil arak secara serius. Di Filipina, pengambilan arak direkodkan bermula seawal usia 12 tahun. Di Thailand, 50 peratus daripada peminum arak adalah mereka yang mula meminum arak pada usia 15 tahun. Paling mengejutkan dalam dapatan tinjauan CAP, 45 peratus daripada remaja di bawah umur 18 tahun di Malaysia telah mula mengambil arak.
Barangkali, inilah hasrat pejuang-pejuang ‘Better Beer Festival 2017’ ini. Melahirkan generasi yang mencintai dan menggilai arak supaya orang ini boleh dikhadamkan oleh mereka.
Menghalang perlaksanaan pesta arak itu bukanlah bererti menentang kebebasan. Bahkan, ianya adalah satu usaha untuk melindungi dan memandaikan masyarakat. Ianya bukan tindakan keras dan agresif, tetapi lebih kepada perasaan kasih sayang serta keinginan untuk saling melindungi antara satu sama lain.
Tidak kira apa agama atau bangsa kita, semua kita jelas mengenai keburukan dan najitah yang tidak baik akibat pengambilan arak dalam kehidupan.
Ismaweb Haji Razali, [19.09.17 16:58]
Penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ ini adalah satu tindakan biadab untuk mengangkat nama Malaysia dengan imej jahiliah dan tidak bertamadun. Banyak lagi sisi positif dalam negara yang boleh diangkat untuk membina imej negara atau menarik pelancong untuk hadir ke Malaysia.
Justeru, harus buat semua yang celik, tidak kira apa agama atau bangsa seharusnya bersatu menolak dan membantah penganjuran program yang sama sekali tidak mendatangkan kebaikan kepada warga Malaysia keseluruhannya. Tidak kira disudut manapun program sebegini tidak harus dilaksanakan di atas tanah berdaulat ini.
Oleh itu, saya dengan sekeras-kerasnya menolak penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ tidak kira di mana sahaja ianya dianjurkan. Dan keputusan ini adalah muktamad!
Asmadi Abdul Samad
Timbalan Ketua Pemuda
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
The post Kebiadaban Beer Festival 2017 dan khadam arak appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan