Layanan terhadap saya di AS lagi baik berbanding Najib, kata Tun M
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
BANGI, 30 Zulhijjah 1438H, Khamis – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, layanan yang diberikan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) terhadap Datuk Seri Najib Razak ketika lawatannya minggu lalu adalah yang terburuk, berbanding zamannya.
Mengulas tuduhan Najib kononnya beliau membelanjakan jutaan ringgit untuk mengatur pertemuan dengan Presiden AS, George W Bush ketika itu, Dr Mahathir dalam catatan blognya hari ini berkata:
“Mengikut laporan akhbar dan media Amerika layanan terhadap Najib adalah seperti layanan terhadap ‘pariah’ (golongan terendah dalam kasta di India).”
Najib sebelum ini membidas Dr Mahathir dengan mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu membayar jutaan ringgit kepada pelobi untuk mengaturkan pertemuan dengan Bush.
Kata Najib, Dr Mahathir menyerahkan tugas itu kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub yang bertanggungjawab mengaturkan pertemuan berkenaan.
Menceritakan semula pengalaman itu, Dr Mahathir berkata, beliau melawat AS secara rasmi selepas lawatannya di Kanada, dalam tempoh tiga tahun bergelar Perdana Menteri.
Beliau berkata, pemerintahan AS menghantar pesawat khas presiden ke Lapangan Terbang La Guardia, New York untuk penerbangannya ke Washington DC.
“Dari Pangkalan Udara Andrews saya diterbangkan dengan helikopter Presiden ke bandar Washington. Saya disambut oleh pegawai tinggi Amerika Syarikat dan bermotor ke hotel Willard Washington DC. Pada masa itu Blair House, tempat penginapan tetamu Kerajaan Amerika sedang diperbaiki.
“Dua buah kereta ‘stretched’ disediakan untuk saya ke White House yang dihias dengan bendera Malaysia dan Amerika Syarikat. Cermin gelap ditingkap kereta menghalang orang ramai daripada mengetahui kereta yang mana yang saya guna.
“Bendera Amerika ternampak hampir semacam dengan bendera Malaysia. Dengan itu ramailah penduduk Washington terkeliru dan memikir kereta-kereta ini membawa Presiden AS. Mereka melambai tangan sepanjang jalan,” katanya.
Katanya, mesyuarat delegasi pula diadakan di bilik mesyuarat khas yang disusuli dengan makan tengah hari dan sidang media.
Malah, katanya, seluruh lawatannya ke White House dirakam oleh Jabatan Presiden Amerika Syarikat dan disimpan dalam Perpustakaan Ronald Reagan.
“Saya juga mengadakan perjumpaan tidak rasmi dengan Presiden Bush (Senior) Presiden Bush (Junior), Presiden Clinton di Washington dan di lain-lain tempat. Biasanya saya membangkitkan soal minyak kelapa sawit dan sikap AS terhadap negara Islam,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, ia berbeza dengan bentuk sambutan diberikan terhadap Najib, yang hanya sekadar disambut oleh Duta Malaysia di Lapangan Terbang Washington dan tinggal di hotel milik Trump.
“Najib mengguna kereta Mercedes. Tidak ternampak kereta panjang yang diberi untuk lawatan Najib dan pertemuan dengan Trump hanya selama 30 minit. Tidak ada makan tengahari dan Press Conference.
“Memandang bahawa masa perjumpaan begitu terhad iaitu hanya 30 minit, dan tawaran Najib kepada Trump begitu tinggi, berjumlah hampir 100 billion Ringgit, kos yang ditanggung oleh Malaysia ialah sebanyak 3.3 billion Ringgit (3.300,000,000 Ringgit) satu minit. Ini boleh jadi satu rekod dunia,” katanya.
Dr Mahathir menjelaskan, beliau tidak pernah menawarkan sebarang jual beli dari AS ketika lawatannya itu, sebaliknya menumpukan kepada dasar Malaysia untuk menjalin hubungan baik dengan semua negara tanpa mengira ideologi.
“Kita bersikap berkecuali dalam sebarang permusuhan antara negara asing. Di antara yang memalukan kita berkenaan lawatan Najib ke Amerika Syarikat ialah laporan Newsweek yang berbunyi ‘Trump’s meeting with Malaysian Crook Najib reeks of the Swamp’.
“Demikianlah buruknya lawatan Najib ke Amerika. Tak usahlah bohong kononnya dia dapat layanan lebih baik dari saya. Najib tidak berani jumpa press. Tujuan sebenar lawatan ke Amerika Syarikat dan U.K. ialah untuk ambil gambar Najib bersama Presiden Amerika Syarikat dan PM U.K.
The post Layanan terhadap saya di AS lagi baik berbanding Najib, kata Tun M appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan