Menganjak paradigma sekolah berteraskan al-Quran dan sunnah: Ikatan Jurutera Muslim Malaysia


TUDING-MENUDING
jari adalah perkara biasa terutama dalam zaman media sosial kini. Setelah kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran al-Ittifaqiyyah ini reda, pastinya yang menuding akan sambung pula ke topik hangat lain. Bagi warga yang menuju mentaliti negara maju dan bertamadun hebat, kita sewajarnya memikirkan dan mengambil tindakan yang progresif dan membina.

Saat ini, mencari kesalahan siapa bukanlah kerja orang awam. Cukup pihak berkuasa dan yang menjadi penanggungjawab bagi operasi institusi berkenaan ditimbang tara dan diadili sebaiknya. Barisan pemimpin masyarakat seharusnya membimbing pandangan dan usaha masyarakat kepada penyelesaian yang bermanfaat buat generasi depan.

Berita jam 8.00 malam menyebutkan bahawa kes kebakaran ini adalah yang ke-212 dalam masa dua tahun melibatkan institusi sekolah agama atau tahfiz. Menelaah sebentar jumlah tersebut akan membawa kepada kita gambaran bahawa sebanyak 8 kebakaran maahad tahfiz berlaku setiap bulan. Boleh jadi setiap Isnin dan Khamis ada maahad tahfiz terbakar.

Di suatu sudut lain, kita perlu melihat pertambahan maahad tahfiz yang banyak ini merupakan suatu gambaran positif terhadap kehendak dan keinginan masyarakat kepada kehidupan disisipkan ayat-ayat al-Quran di dalam hidup mereka. Ibu bapa yakin bahawa kehidupan dengan al-Quran di dada adalah suatu faktor besar bagi membentuk kehidupan yang berakhirkan syurga. Sebarang usaha bagi membenamkan keyakinan ini adalah usaha yang sia-sia dan pendek akal.

Justeru masyarakat awam perlu menganjak cara fikir dan cara tindak bagi merealisasikan cita-cita membentuk generasi al-Quran dan sunnah ini. Kita perlu meletakkan pandangan hadapan bahawa pendidikan berteraskan al-Quran dan sunnah akan berada di aliran perdana. Ia adalah bentuk pendidikan buat semua, hatta merentas penganut semua agama kerana Islam itu bukanlah tatacara hidup bagi muslim semata tetapi untuk seluruh alam.

Saya berpandangan, bagi jangka pendek, wajarlah pihak kerajaan menyediakan saluran dan kaedah kerja bagi melaksana pemeriksaan di setiap maahad tahfiz yang ada di negara ini menepati keperluan keselamatan penghuni. Langkah segera juga perlu di ambil pihak berkuasa ehwal agama di negeri masing-masing bagi mendaftarkan maahad tahfiz yang banyak itu bagi tujuan pemantauan dan bimbingan. Dalam usaha ini, ibu bapa memainkan peranan penting bagi membantu atau bahkan mendesak pihak institusi maahad tahfiz ini untuk mendaftarkan sekolah mereka dan melaksanakan pemeriksaan berdasarkan piawai yang sepatutnya. Ia untuk kebaikan anak-anak kita semua.

Bagi jangka sederhana, wajarlah pihak perbandaran dan pihak berkuasa memainkan peranan memantau perkembangan dan penubuhan institusi-institusi tahfiz ini agar pengusahanya mendirikan infrastruktur mereka mengikut piawaian yang sepatutnya. Ini bagi memastikan tidak ada institusi yang beroperasi tanpa kebenaran. Kerjasama daripada masyarakat umum adalah amat berharga dalam hal ini. Laporan pihak umum bukanlah bagi membantutkan usaha mendirikan maahad yang akan melahirkan generasi huffaz tetapi bagi menjaga keselamatan orang di sekitar dan bagi penghuni khususnya.

Namun yang paling utama adalah usaha jangka panjang bagi masyarakat mengangkat agenda pendidikan berteraskan al-Quran dan sunnah ini sebagai satu daripada agenda politik am. Bukan mempolitikkan maahad tahfiz tetapi menjadikan ia sebahagian daripada tolakan bagi kehendak berpolitik (political will). Sekali lagi, kita meletakkan pandangan jauh bahawa pendidikan berteraskan al-Quran dan sunnah sebagai bentuk pendidikan aliran perdana, dengan bangunan agamnya di tengah bandar, alatannya bertaraf tinggi dan berupaya melahirkan generasi bijak pandai dan berkualiti khalifah dunia. Ibu bapa perlu berkeyakinan bahawa pelaburan pendidikan anak-anak adalah pelaburan paling utama. Perbelanjaan dan usaha yang besar perlu diberikan bagi merealisasikan usaha ini.

Wajarlah kita teruskan cogan kata Sukan SEA yang baru sahaja berlalu, #bangkitbersama demi agenda pendidikan berteraskan al-Quran dan sunnah.

M Shahril Atiqi M Sharip
Timbalan Pengerusi Ikatan Jurutera Muslim Malaysia

The post Menganjak paradigma sekolah berteraskan al-Quran dan sunnah: Ikatan Jurutera Muslim Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?