Naib Presiden Isma bida Keris Sundang lebih 100 tahun RM22,109
Oleh Athirah Huda Zalhe
SHAH ALAM, 26 Zulhijjah 1438H, Ahad – Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdul Rahman Mat Dali memenangi bidaan tertinggi bagi dua artifak peninggalan sejarah Melayu dalam jualan lelong Malam Inspirasi Pejuang 2017, malam tadi.
Dua tinggalan sejarah itu merupakan Tepak Sirih Tembaga Berukir dan Keris Sundang dengan jumlah bidaan bagi kedua-dua artifak berkenaan sebanyak RM37,718.
Keris Sundang dianggarkan berusia lebih 100 tahun dijual dengan harga RM22,109 menerima bidaan tertinggi dalam jualan lelong itu.
Artifak yang berasal dari Kelantan itu memperlihatkan pengaruh konsep penghasilan reka bentuk keris Sulawesi, Indonesia. Ia dibuat menggunakan besi waja tanpa pamor hasil daripada nukilan penghasilan pandai keris negeri Kelantan-Patani.
Tepak Sirih Tembaga Berukir menduduki tempat kedua dengan bidaan berjumlah RM15,609. Artifak berkenaan lengkap dengan gembuk cekati berukir burung cenderawasih dan gebek tembaga putih.
Bekas tepak ini berukir penuh dengan ukiran daun Melayu bersama empat buah pinang sebagai tapak.
Abdul Rahman ketika ditemui Ismaweb.net berkata, beliau membida dua artifak berkenaan kerana mahu ia terus disimpan, dipelihara dan diwarisi serta kekal sehingga ratusan tahun akan datang.
“Saya membida kerana saya berasa warisan ini perlu dijaga dengan baik, tiada nilai tandingan dan kita tidak mahu benda ini tidak dihargai.
“Jadi saya rasa betapa pentingnya, ia bukan dari segi harta semata-mata tetapi memastikan khazanah ini disimpan untuk Isma, Melayu dan keluarga,” katanya.
Katanya, kedua-dua khazanah berkenaan memperlihatkan pelbagai elemen yang mendorongnya untuk membeli dengan nilai tinggi khususnya bagi artifak berusia lebih 100 tahun.
“Tepak sirih menggambarkan kebudayaan lembut, tinggi khususnya persaudaraan dan membina pertalian keluarga. Ia warisan turun temurun dan mempunyai elemen lelaki dan perempuan.
“Sementara Sundang merupakan senjata yang melambangkan kewajaan jati diri Melayu dan semangat perjuangan. Oleh kerana itu artifak berkenaan, kerana ia memiliki ciri kelembutan, kekeluargaan, warisan, kemasyarakatan dan perjuangan.
“Saya rasa perkara berkaitan sejarah dan warisan tiada nilai. Pada saya harga itu masih rendah kerana ia tidak boleh dinilai dengan harga wang ringgit dan sebagainya,” katanya.
Kedua-duanya merupakan antara 12 artifak yang dipamerkan malam tadi, termasuk lima daripadanya untuk dilelong. Tiga lagi artifak yang turut dilelong adalah bekas Bakar Wangian Berlorek, Al-Quran Tulisan Tangan dan Kitab Majlis Maulidur Rasul.
Tujuh artifak lain yang dipamerkan adalah Paha Berukir Bersadur Emas, Baldi Tembaga, Kendi Tembaga Berlorek, Bekas Kuih Berlorek, Bekas Bakar Wangian Berlorek, Periuk Tembaga Bertelinga dan Kotak Laut.
Jualan lelong itu adalah kali pertama diadakan dalam penganjuran Malam Inspirasi Pejuang kali ketiga ini, bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan bagi program-program yang memartabatkan agama, bangsa dan negara.
The post Naib Presiden Isma bida Keris Sundang lebih 100 tahun RM22,109 appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan