Pertahan bahasa Melayu bukan rasis tapi demi Islam: Isma
Seni silat antara persembahan yang ditonjolkan dalam Malam Inspirasi Pejuang 2017 anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.
Oleh Siti Fatimah Ishak
SHAH ALAM, 26 Zulhijjah 1438H, Ahad – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman menolak dakwaan pihak yang mengatakan perjuangan mempertahan bahasa Melayu adalah rasis.
“Ia bukan rasis seperti yang difahami mereka yang berfikiran terjajah. Melayu bukan sekadar satu etnik, tetapi satu identiti kebangsaan yang berteraskan Islam,” katanya.
Menguatkan hujahnya, Ustaz Abdullah berkata, bahasa Melayu dan tulisan jawi itu sendiri adalah sebahagian daripada komponen penting dalam pembentukan identiti kebangsaan Melayu.
“Ia sudah terbukti seperti dalam sejarah dan tercatat dalam Perlembagaan. Jadi mempertahan identiti kebangsaan Melayu adalah perjuangan mempertahankan Islam,” katanya ketika berucap di Malam Inspirasi Pejuang 2017 di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.
Mengulas lanjut Ustaz Abdullah yang lantang bersuara perihal isu Islam berkata, perjuangan bangsa Melayu adalah perjuangan menyingkap peradaban Islam dan segala jalur keturunan penghuni benua sunda ini.
Katanya, Melayu telah menjadi satu bangsa yang berdaulat, memimpin wilayah-wilayah di benua Sunda.
“Melayu merupakan satu bangsa dan juga satu peradaban. Penduduk alam Melayu terdiri dari pelbagai etnik dan rumpun yang disatukan oleh satu peradaban dan satu kebangsaan iaitu Melayu.
“Yang jelas, Melayu bukanlah bangsa baru dirantau ini, sebaliknya satu bangsa yang telah maju budayanya, dan memiliki kemajuan yang terulung.
“Melayu sebagai satu kebangsaan terbentuk seiring dengan kemasukan Islam di rantau ini,” katanya.
The post Pertahan bahasa Melayu bukan rasis tapi demi Islam: Isma appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan