Pesta arak, gay agenda perosak bangsa: Ketua Wanita Isma
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 30 Zulhijjah 1438H, Khamis – Penganjuran Better Beer Festival 2017 (BBF17) dan parti muzik gay ‘White Party BKK Warm Up’ sengaja diadakan bertujuan mahu merosakkan anak bangsa, terutama golongan muda yang beragama Islam.
Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Dr Norsaleha Mohd Salleh berkata, masyarakat Islam di Malaysia masih kuat dan utuh dengan sensitiviti agama serta budaya ketimuran yang dipraktikkan.
Bagaimanapun tegas beliau, sikap penganjur dua pesta terbabit dilihat sengaja mencabar emosi umat Islam, bahkan tidak menghormati Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Ibu bapa perlu mengawasi dan memastikan anak-anak mereka menolak agenda perosak bangsa.
“Anak-anak perlu dididik dengan hukum halal dan haram sejak kecil agar mereka boleh membezakan yang baik dan buruk seterusnya berupaya menolak kejahatan yang menyerang mereka,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.
Justeru, Dr Norsaleha mendesak pihak kerajaan untuk bersikap tegas memainkan peranan dengan menarik balik lesen penganjuran.
“Malah, badan berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga digesa supaya lebih sensitif terhadap agenda perosak bangsa itu,” katanya.
Tegas beliau, umat Islam di Malaysia bersepakat menolak penganjuran sedemikian kerana menganggu keharmonian dan keselamatan negara.
“Tiada yang baik pun pada arak dan gay melainkan kerosakan,” katanya.
Kebelakangan ini, umat Islam lantang membantah penganjuran pesta arak, Better Beer Festival 2017 (BBF17) yang dijadual 6 dan 7 Oktober ini.
Better Beer Festival adalah acara tahunan untuk merasai produk pengeluar bir bebas.
Tidak hanya setakat itu, umat Islam sekali lagi dikejutkan dengan penganjuran pra-pesta muzik tarian gay, ‘White Party BKK Warm Up’ yang akan diadakan seminggu lebih awal daripada pesta arak iaitu 30 September ini.
Parti muzik gay itu dikatakan yang terbesar di dunia, dengan menghimpunkan semua ahli komuniti LGBT dan gay dari seluruh negara.
The post Pesta arak, gay agenda perosak bangsa: Ketua Wanita Isma appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan