Pesta arak, gay: Kerajaan gagal realisasi Islam agama negara
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 30 Zulhijjah 1439H, Khamis – Keberanian pihak tertentu menganjurkan pesta maksiat arak dan gay memperlihatkan kegagalan kerajaan menguatkuasakan undang-undang Islam.
Ketua Biro Penerangan dan Kajian Pemuda Isma, Muslim Abdullah Zaik berkata, kerajaan dilihat lemah dalam menguatkuasakan undang-undang, bahkan gagal merealisasikan Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Negara yang menegaskan Islam sebagai agama Persekutuan.
Beliau kesal apabila kebelakangan ini, Malaysia dengan mudah menyajikan pesta maksiat yang hanya menghancurkan masa depan masyarakat keseluruhannya.
Pesta arak, Better Beer Festival 2017 (BBF17) dijadualkan berlangsung pada 6 dan 7 Oktober ini. Walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak meluluskan permohonan penganjurannya, beberapa pimpinan parti DAP, MCA dan PKR berkeras untuk meneruskan pesta berkenaan.
Terbaharu, pra-pesta muzik tarian gay, ‘White Party BKK Warm Up’ yang akan diadakan pada 30 September ini, dengan menghimpunkan semua ahli komuniti LGBT dan gay dari seluruh negara.
“Mereka tidak takut untuk menganjurkan atau mencadangkan penganjuran pesta maksiat ini. Masalahnya, pesta maksiat dipertahankan oleh parti-parti bukan Islam seperti DAP dan MCA yang mempunyai kerusi dalam kerajaan negeri mahupun Persekutuan.
“Jika kita perhatikan, kebanyakan pesta maksiat ini dibatalkan setelah mendapat tekanan daripada NGO Islam. Bahkan tiada jaminan pesta seperti ini tidak akan berulang pada tahun yang akan datang.
“Jika tiada tekanan dan suara daripada NGO Islam, adakah pesta maksiat akan berlangsung seperti biasa? Dan kenapa kerajaan berdiam diri?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Mengulas lanjut, Muslim berkata, percubaan gerakan maksiat mencabar perundangan dan Perlembagaan Malaysia adalah sebagai cubaan untuk menguji ketegasan kerajaan, sokongan dan bantahan dalam kalangan masyarakat.
“Sedikit demi sedikit jika kita tidak bertegas, mereka akan semakin menapak dan mendapat tempat. Sebahagian mereka bertugas ‘mencucuk’ sensitiviti masyarakat, sebahagian yang lain menyiapkan golongan sokongan dengan mempengaruhi masyarakat dengan ideologi liberal bagi menjayakan proses liberalisasi dan normalisasi.
“Lebih licik lagi gerakan maksiat ini menggunakan alasan kemanusiaan dan hak bukan Islam bagi menganjurkan pesta maksiat seperti ini.
“Bagi pihak anak muda, kita menyeru kerajaan supaya bersikap tegas kepada gerakan maksiat supaya mereka tidak sewenang-wenangnya menganjurkan aktiviti yang berlawanan dengan identiti Malaysia sebagai negara Melayu Islam,” katanya.
The post Pesta arak, gay: Kerajaan gagal realisasi Islam agama negara appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan