Rosmah, 1MDB mohon batal saman berlian merah jambu, lapor portal
BANGI, 23 Zulhijjah 1438H, Khamis – Peguam isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan 1MDB memohon untuk membatalkan saman oleh bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mahu kalung berlian merah jambu bernilai AS$23 juta dikembalikan.
Ini didedahkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi A Pavani apabila perkara itu dibawa untuk pengurusan kes petang tadi.
Peguam Syed Iskandar Syed Jaffar Al Mahdzar, yang mewakili Khairuddin, memberitahu Malaysiakini, beliau menerima permohonan Rosmah untuk membatalkan saman itu dan memohon penangguhan prosiding pada 12 September.
Sebulan lalu, Khairuddin memfailkan saman meminta mahkamah mengarahkan Rosmah memulangkan set berlian merah jambu 22 karat kepada 1MDB.
Khairuddin dalam saman itu berkata, beliau memulakan saman itu kerana tiada individu yang mengambil tindakan menuntut barang kemas berkenaan, yang merupakan antara yang disebut dalam saman Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.
Syed Iskandar berkata:
“Pemfailan permohonan untuk membatalkan tuntutan adalah bertentangan dengan peraturan mahkamah yang lazimnya memerlukan ia difailkan dalam masa 14 hari.”
Katanya, alasan yang diberikan dalam permohonan itu adalah tidak kukuh.
Pada masa sama, Syed Iskandar berkata, Pavani membenarkan permohonan anak guamnya untuk menyerahkan saman kepada tokoh perniagaan melalui cara lain selepas tiga percubaan tidak berjaya.
Peguam itu berkata, mereka pergi ke rumah Jho Low sebanyak tiga kali. Pada percubaan pertama, tiada seorang pun di rumah. Pada cubaan kedua, hanya terdapat dua pembantu rumah yang enggan menerima dokumen itu. Percubaan ketiga juga terbukti tidak berjaya.
“Berikutan ini, mahkamah membenarkan permohonan kami untuk saman itu diiklankan dalam satu akhbar berbahasa Inggeris dan satu lagi dalam akhbar Cina dan dokumen itu akan dipamerkan di mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, Reuters melaporkan pembelian barang kemas itu telah diatur Jho Low, yang juga dituduh memberi hadiah RM13.68 juta kepada pelakon Leonardo DiCaprio.
Bagaimanapun, jurucakap DiCaprio berkata, pelakon itu sudah memulakan prosiding untuk memindahkan hak milik lukisan Picasso itu kepada kerajaan Amerika, selain mula mengembalikan hadiah yang diterimanya daripada Jho Low yang ada kaitan dengan kes 1MDB.
Reuters yang memetik laporan saman itu juga mengatakan barang kemas kepada Rosmah dibeli dengan wang yang melalui akaun Najib. Barang kemas, lukisan Picasso, dibeli dengan dana yang dikesan hasil daripada penyelewengan bon yang ditawarkan 1MDB pada 2013.
Menurut saman DoJ itu, kalung berlian berkenaan dibeli pada 2013, hanya sebulan selepas AS$680 juga dipindahkan ke akaun peribadi Najib di Kuala Lumpur. Kerajaan Malaysia berkata, wang itu adalah derma daripada kerabat diraja Arab Saudi.
Kalung berlian itu dibeli dari Lorraine Schwartz di New York yang turut mereka bentuk barang kemas buat selebriti terkenal dunia seperti Beyonce Knowles dan Jennifer Lopez.
Saman itu turut mendedahkan pesanan Jho Low kepada Schwartz pada Jun 2013 yang menyebut “Need a 18 carrot (carat) pink heart diamond vivid or slightly short of vivid. On diamond necklace urgent”.
Sebulan kemudian Schwartz menunjukkan kalung itu kepada sekumpulan individu, termasuk Rosmah, di atas sebuah kapal layar mewah dan besar di dunia – Topaz – di Monaco. Jho Low menyewa kapal layar berukuran 147 meter itu selama tujuh hari pada awal Julai 2013, kata laporan DoJ.
Rosmah dan Jho Low sekali lagi bertemu Schwarts di sebuah hotel di New York pada September tahun yang sama, ketika Najib berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kalung itu akhirnya diserahkan kepada seorang rakan Rosmah yang tidak dinamakan pada 2014 di Hong Kong, yang kemudian menyerahkan kepada Rosmah di Kuala Lumpur, kata DoJ.
Jho Low juga menguruskan pembelian 27 barang kemas lain bernilai RM5.56 juta kepada Rosmah pada 2014.
The post Rosmah, 1MDB mohon batal saman berlian merah jambu, lapor portal appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan