Tengku Adnan nafi beri kenyataan pesta arak dibatal kerana politik, agama

KUALA LUMPUR, 1 Muharram 1438H, Jumaat – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan dakwaan beliau menyatakan pembatalan pesta arak ‘Better Beer Festival 2017’ di ibu negara bulan depan adalah disebabkan faktor politik dan agama.

Tengku Adnan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat keputusan tidak memberi kelulusan bagi penganjuran pesta itu atas sebab keselamatan dan ia juga bercanggah dengan enakmen yang terkandung dalam undang-undang kecil DBKL.

Beliau memberi alasan bahawa ia menyalahi undang-undang untuk mengambil dan menjual arak di kawasan terbuka dan dari segi keselamatan, polis telah memberikan maklum balas bahawa ia agak berbahaya untuk mengadakan pesta itu di kawasan terbuka.

“Bagi saya, pertimbangan utama saya ialah untuk memastikan keselamatan awam…mereka boleh mengadakan pesta itu di rumah, di bar atau di hotel tetapi bukan di tempat terbuka..mereka tidak dibenarkan untuk berbuat demikian.

“Tolong jangan putarbelitkan isu ini dengan menyatakan bahawa saya tidak memberi kelulusan disebabkan tekanan poltik dan agama,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan projek unit-unit kediaman mampu milik oleh Mah Sing Group Berhad di sini, semalam.

Tengku Adnan turut melahirkan rasa kesal terhadap beberapa kenyataan politik yang dibuat oleh pihak pembangkang mengenai isu itu dengan memberi gambaran buruk kepada kerajaan.

Beliau juga menafikan ada membenarkan pesta seumpama itu diadakan di kawasan terbuka di ibu negara pada masa lalu.

Pesta arak itu sepatutnya diadakan dari 6 hingga 7 Oktober ini di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur, dengan menampilkan 250 jenama arak yang berbeza daripada 43 kilang arak dari seluruh dunia.

DBKL membuat pengumuman itu seminggu selepas seorang Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Riduan Mohd Nor membantah keras penganjuran pesta itu dan menyifatkannya sebagai ‘pesta maksiat’.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata Kementerian akan mengadakan mesyuarat khas pada Isnin depan untuk membincangkan isu ‘kawasan panas’ di Kuala Lumpur yang digunakan untuk aktiviti haram dan tidak bermoral.

“Salah satu tempat yang kita telah kenal pasti adalah Keramat, Kampung Baru, Kampung Batu, Cheras, Lembah Pantai, Seputeh dan sebagainya. Kita akan mengambil tindakan untuk memastikan bahawa kawasan-kawasan yang ada kemungkinan benda-benda ini berlaku kita akan atasinya,” katanya. – Bernama

The post Tengku Adnan nafi beri kenyataan pesta arak dibatal kerana politik, agama appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?