3 komander Daesh antara 45 pengganas asing rancang serangan di Malaysia ditangkap

KUALA LUMPUR, 23 Muharram 1439H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 45 individu yang dikategorikan sebagai pengganas warga asing (FTF) hasil tindakan proaktifnya melancarkan operasi mengesan dan menangkap mereka setakat 6 Oktober lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, mereka yang ditahan itu disyaki anggota pelbagai kumpulan pengganas di seluruh dunia.

Katanya, tindakan proaktif itu diambil berdasarkan risikan yang diperoleh bahawa anasir Daesh dari pelbagai negara yang sebelum ini beroperasi di Iraq dan Syria, mula menyusup keluar dari negara berkenaan selepas kumpulan mereka kehilangan sebahagian besar kawasan yang dikuasai sebelum ini.

Beliau berkata, mereka telah diarahkan menyusup masuk ke negara-negara di seluruh dunia untuk melancarkan serangan bagi pihak Daesh.

“Risikan yang diperoleh mengesahkan terdapat kumpulan pengganas asing yang bergabung dengan Daesh sama ada di rantau Asia Tenggara atau di peringkat global seperti Abu Sayyaf Group (ASG) dan Jamaatul Mujahideen yang mengarahkan anggota kumpulan mereka menyusup masuk dan melancarkan serangan di Malaysia,” katanya.

“Daripada 45 individu FTF yang ditahan itu sembilan disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas ASG, tiga disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Fetullah Turki (kumpulan yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Pertubuhan Kerjasama Islam).

“Seorang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Albania yang mempunyai hubungan dengan Daesh manakala seorang lagi disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Jamaatul Mujahidden Bangladesh,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, baki 31 individu lagi merupakan FTF merangkumi pelbagai warganegara yang disyaki terlibat dalam Daesh, termasuk tiga FTF warga Iraq yang merupakan komander Daesh di selatan Iraq.

Mengenai tindakan terhadap mereka, beliau berkata, 13 suspek telah dituduh di mahkamah di bawah Bab VIA – kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan dan disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

“Seramai 12 suspek telah diusir ke negara asal untuk tindakan susulan pihak berkuasa berkenaan manakala seorang suspek telah dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, seramai tujuh orang telah dibebaskan, manakala 12 suspek masih lagi dalam siasatan polis.

“Anggota pengganas ASG yang memasuki Malaysia disyaki merancang melancarkan serangan di negara ini manakala anasir-anasir FTF yang lain menyusup masuk ke negara ini sama ada untuk berlindung, mengumpul dana, melancarkan serangan di negara ini atau menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi mereka untuk serangan terhadap negara ketiga,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan PDRM dalam operasi pembanterasan itu adalah hasil kerjasama mantap dengan agensi perisikan dan penguat kuasa asing dari segi pertukaran maklumat risikan.

Mohamad Fuzi berkata, PDRM akan terus memantau dan mengambil tindakan pembanterasan ke atas kehadiran anasir-anasir pengganas asing bagi memastikan sebarang cubaan serangan di Malaysia oleh FTF dapat dipatahkan.

“Usaha menangani ancaman anasir-anasir pengganas FTF bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia memerlukan kerjasama antara PDRM dan agensi penguat kuasa dan perisikan asing.

“Sekiranya ancaman ini tidak dibendung dengan efektif, ia akan mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia,” katanya. – Bernama

The post 3 komander Daesh antara 45 pengganas asing rancang serangan di Malaysia ditangkap appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian