80 peratus sekolah tahfiz di Kedah tak patuh keselamatan: Bomba

ALOR SETAR, 20 Muharram 1439H, Selasa – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengenal pasti sekurang-kurangnya 80 peratus daripada 62 buah sekolah tahfiz yang beroperasi di negeri ini tidak mematuhi aspek keperluan keselamatan.

Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran negeri, Penguasa Kanan Bomba I, Mohd Zaidi Maat berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan keselamatan di 31 buah sekolah tahfiz sejak awal bulan lalu.

“Pemeriksaan mendapati ada antara sekolah ini yang tidak mempunyai alat pemadam api, tiada sistem gelung hos, tiada tangga kedua sekiranya berlaku kecemasan dan susunan katil di asrama yang tidak mengikut jarak yang ditetapkan.

“Baki 31 sekolah tahfiz lagi akan diperiksa dalam masa terdekat dan sekolah yang tidak mematuhi aspek keselamatan juga telah diberi teguran secara bertulis daripada pihak bomba,” katanya selepas Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pertandingan Bomba di Dapur di sini, hari ini.

Katanya, sebanyak 147 sekolah tahfiz, pondok dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) telah berdaftar di bawah JBPM negeri dan daripada jumlah itu, sebanyak 118 premis telah diperiksa sehingga Julai lalu.

Mohd Zaidi berkata, hasil pemeriksaan itu juga membawa kepada penemuan punca-punca kegagalan pihak sekolah menyediakan alat pemadam api dan tangga kedua antaranya kerana kekurangan dana.

“Kekurangan dana merupakan antara punca pihak sekolah gagal untuk menyediakan peralatan keselamatan yang mencukupi, jadi saya harap pihak korporat atau badan bukan kerajaan (NGO) dapat memberi sumbangan kewangan kepada sekolah-sekolah ini.

“Aspek keselamatan ini perlu diambil berat kerana kita tidak mahu kejadian kebakaran seperti di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur pada 14 September lalu yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru tahfiz berulang lagi,” katanya.

Katanya lagi, demonstrasi dan ceramah berkaitan aspek keselamatan juga sentiasa dijalankan untuk pelajar dan pihak pentadbiran sekolah supaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kebakaran di premis mereka.

Sementara itu, beliau berkata, daripada 147 premis sekolah tahfiz, pondok dan SAR yang telah berdaftar di bawah JBPM negeri, hanya 90 buah sekolah telah didaftarkan di bawah skuad bomba tahfiz bagi membantu mengurangkan insiden kebakaran membabitkan bangunan institusi pendidikan agama di negeri ini. – Bernama

The post 80 peratus sekolah tahfiz di Kedah tak patuh keselamatan: Bomba appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian