Aktif dakwah tak halang untuk berjaya

Oleh Che Siti Rekembang Hasbi

BANGI, 4 Safar 1439H, Selasa – Meskipun pernah gagal ketika berada di tahun kedua pengajian, bukanlah penamat kepada usaha untuk mencapai cita-cita, sebaliknya menjadi dorongan untuk berusaha lebih keras pada masa hadapan.

Bagi Syahidah Abd Halim, 25, kegagalan itu menjadi satu motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh dan percayakan diri sendiri boleh berjaya seperti orang lain.

Pada awalnya, beliau belajar di Universiti Mansoura, Mesir selama tiga tahun, namun, pada 2013 beliau berpindah ke Malaysia berikutan keadaan huru hara yang berlaku di sana apabila tentera merampas kuasa daripada presiden yang dilantik secara demokrasi.

Setelah itu, beliau memulakan tahun kedua pengajian di UniKL Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) melalui sistem pemindahan kredit dalam jurusan Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery (MBBS).

Perit jerih menuntut ilmu selama lima tahun terbalas apabila memperoleh gred B+ dalam keputusan, sekal gus melayakkan beliau tersenarai dalam penganugerahan dekan di institusi pengajian berkenaan.

“Syukur Alhamdulillah rezeki anak, tersenarai dalam penganugerahan dekan adalah satu perkara yang tidak dijangkakan kerana sebelum ini tidak pernah lagi mendapat anugerah dekan,” katanya.

Beliau yang amat meminati bidang kedoktoran dan suka membantu masyarakat mendirikan rumahtangga sejak 2013 dan kini hamil anak pertama.

Walaupun, bergelar seorang pelajar dan mempunyai suami, beliau turut aktif berdakwah dalam Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan persatuan di institusi pengajian berkenaan.

“Saya aktif dalam Isma sejak tahun 2010 lagi, bermula di Mesir kemudian berpindah ke Malaysia. Saya turut memegang jawatan sebagai biro penerangan dalam Persatuan Wanita Isma Ipoh dan Persatuan Pembina RCMP.

“Saya membahagikan masa mengikut keutamaan. Sebagai pelajar, menuntut ilmu adalah keutamaan, namun kita tidak ada alasan untuk ketepikan dakwah, begitu juga keluarga,” katanya lebih lanjut.

Selain itu, beliau turut memberi beberapa tips khas yang diamalkannya bagaimana untuk menguruskan masa, tatkala bergelar pelajar, isteri dan pendakwah yang sesuai diamalkan oleh golongan pelajar.

“Setiap orang dikurniakan 24 jam dalam satu hari, 7 hari dalam satu minggu. Saya kurang gemar menangguh kerja, dan lebih suka buat kerja awal sebab saya tahu masa akan tinggalkan kita. Jadi, jangan selalu beralasan.

“Saya selalunya fokus dalam kelas supaya mendapat kefahaman mengenai topik ketika itu juga. Tak perlu tangguh lagi untuk ulang kaji, kerana ianya memakan masa. Bila kelas tamat, saya akan fokus pula kepada persiapan program Isma, usrah dan sebagainya selain buat persiapan untuk kelas esoknya.

“Hujung minggu saya luangkan masa bersama keluarga pula, jika tiada program. Saya percaya, berkat keluarga mempengaruhi kejayaan kita,” katanya.

Malah, katanya, bersenam adalah salah satu faktor untuk meningkatkan produktiviti diri. Oleh itu, jika ada kelapangan beliau akan bersenam kerana ilmu tidak dapat diperoleh jika badan yang tidak cergas.

The post Aktif dakwah tak halang untuk berjaya appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian