Bajet 2018 banyak beri kebaikan untuk rakyat tapi masih banyak aspek lain lemah, kurang diberi perhatian: Timbalan Presiden Isma

BANGI, 8 Safar 1439H, Sabtu – Bajet 2018 yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak semalam telah menunjukkan banyak manfaat telah diberikan kepada ramai pihak.

Namun, hakikatnya terdapat beberapa aspek lain yang penting telah kurang diberi perhatian oleh pihak kerajaan.

Timbalan Presiden Isma, Haji Aminuddin Yahaya berkata, pemberian bonus RM1,500 dan beberapa insentif lain kepada kakitangan kerajaan, cuti bersalin dan waktu kerja fleksibel untuk golongan wanita, insentif untuk pesara kerajaan adalah antara gula-gula untuk manfaat golongan sasaran.

Selain itu, projek perumahan mampu milik seperti PR1MA, perumahan mesra rakyat dan lain-lain yang berjumlah lebih 230,000 unit adalah satu angka yang banyak membantu generasi muda dan golongan berpendapatan rendah.

“Juga peruntukan RM100 juta untuk projek e-usahawan, RM120 juta pinjaman mudah, dengan ini ramai mula melibatkan diri dalam bidang keusahawanan. Pemansuhan konsesi beberapa tol juga amat dialu-alukan dan akan meringankan bebanan rakyat,” katanya kepada Ismaweb hari ini.

Namun begitu, Aminuddin juga menjelaskan banyak aspek yang lemah dan kurang diberi perhatian.

“Walaupun banyak peruntukan untuk latihan diberi pada graduan tapi peluang pekerjaan masih tidak dapat menampung jumlah graduan. Kadar pengangguran meningkat begitu juga kadar retrenchment. Ini membayangkan ekonomi masih lagi rapuh (fragile),” katanya.

Beliau juga menyambut baik kelonggaran dan diskaun bayaran balik PTPTN tapi dalam masa yang sama kerajaan seharusnya memikirkan kembali untuk ditukar kepada biasiswa ataupun menambahkan subsidi kepada IPTA supaya graduan tidak terbeban dengan hutang pada peringkat awal kehidupan mereka.

Mengulas mengenai peruntukan untuk institusi Islam, Aminuddin berkata, walaupun ada sedikit pertambahan peruntukan namun ia masih kurang diberi perhatian dan boleh menjejaskan peranan dan gerak kerja mereka yang aktif mempertahankan Islam.

“Walaupun peruntukan kepada NGO yang mengendalikan isu sosial diberi RM50 juta tapi pengalaman lepas menampakkan NGO Islam jauh tertinggal ke belakang dalam menerima bantuan. Sebaliknya badan-badan sosial lain yang lebih banyak menerima,” katanya lagi.

Aminuddin juga meminta kerajaan memantau dan memperkasakan agensi pemantau supaya harga barangan asas tidak melonjak tinggi.

“Kita berterima kasih dengan ‘bayaran’ yang diberi kepada rakyat tetapi yang menjadi persoalan ialah ia tidak setimpal dengan kenaikan harga barang. Ia perlu dipantau sebaiknya,” katanya lagi.

Antara aspek lain kurang diberi penekanan ialah kadar cukai korporat yang perlu dikurangkan, pemerkasaan agensi yang menjaga ‘corporate governance’ seperti SPRM dan isu ketirisan dan kroni yang membolot kebanyakan projek.

“Pelepasan kadar cukai dialu-alukan tetapi ia lebih menekankan kepada golongan berpendapatan rendah sedangkan yang berpendapatan tinggi kurang terkesan. Kadar cukai korporat tidak pula dikurangkan walaupun banyak syarikat mengalami masalah kekangan kewangan disebabkan ekonomi yang lembap.

“Pemerkasaan agensi-agensi penting yang menjaga Corporate Governance seperti SPRM tidak diberikan penambahan bajet yang mungkin akan menyukarkan mereka untuk menjalankan tugas.

“Seperti biasa, banyak projek yang diumumkan namun dalam masa yang sama rungutan usahawan-usahawan masih berterusan mengenai ketirisan dan juga syarikat-syarikat kroni yang membolot kebanyakan projek-projek ini. Harap kerajaan ambil perhatian yang serius supaya kek ini dapat dirasai oleh ramai pihak,” katanya.

The post Bajet 2018 banyak beri kebaikan untuk rakyat tapi masih banyak aspek lain lemah, kurang diberi perhatian: Timbalan Presiden Isma appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian