Bimbang Malaysia jadi seperti AS iktiraf LGBT

Oleh Athirah Huda Zalhe

SHAH ALAM, 18 Muharram 1439H, Ahad – Ahli Jawatankuasa Biro Luar Negara Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Nurhidayah Ismail menggesa umat Islam di negara ini supaya tidak hanya meletakkan tanggungjawab menangani pengaruh golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) kepada institusi agama semata-mata.

Sebaliknya tegas beliau, semua pihak, termasuk penganut agama lain yang menentang kebebasan orientasi seksual itu, perlu turut serta menyokong usaha institusi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menyekat pengaruh berkenaan daripada merebak di Malaysia.

“Seperti yang saya katakan, kita perlu memurnikan setiap saluran yang ada, contohnya di peringkat kementerian. Sejauh mana mereka ini mahu meraikan golongan tersebut?

“Maksudnya, setiap saluran bukan sahaja berfokus kepada institusi agama, tetapi mana-mana saluran kerajaan perlu cakna, dan tidak menjadikan LGBT sebagai perkara yang boleh diraikan,” katanya pada Seminar Fiqh Wanita, Feminisme dan LGBTQ: Nafsu atau Wahyu? di sini, hari ini.

Nurhidayah turut meluahkan kebimbangannya terhadap gerakan LGBT yang dibiaya dana luar, dengan membawa agenda pihak tertentu, terutama Barat untuk menghapuskan syiar Islam daripada naratif Malaysia.

“Gerakan ini cuba menukar undang-undang, tukar struktur kenegaraan kita yang perlu ditentang dengan cara yang sama dengan memperkasakan undang-undang Syariah.

“Kita tidak boleh menggunakan pendekatan sama dengan LGBT yang bergerak sebagai individu, kerana mereka yang bergerak dalam kumpulan ini lebih berbahaya dan berpengaruh. Oleh itu, kita perlu lawan mengikut cara sama dengan usaha yang cuba mereka lakukan,” katanya.

Merujuk kepada Amerika Syarikat (AS), beliau berkata, kebanyakan negeri di negara itu sudah mula menerima dan mengiktiraf golongan LGBT dan perkahwinan sejenis, meskipun pada awalnya ia pernah menerima tentangan.

“Di AS, psikologi mereka mengatakan individu yang mempunyai kecenderungan seksual songsang sebagai penyakit minda.

“Namun, lama kelamaan apabila ada pengaruh dan tekanan kuat daripada pihak yang memperjuang LGBT ini mereka beri tekanan dan menafikan ianya bukan penyakit minda, malah mempertahankan hak mereka untuk menjadi begitu.

“Golongan itu telah memperjuangkan LGBT sejak 1950-an lagi. Akhirnya hasil usaha kerja keras mereka selama 60 tahun, mereka berjaya mendapat hak dan diiktiraf di negara itu,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu jugalah yang menjadi kebimbangan hari ini, sekiranya kerja keras itu berterusan tanpa sebarang usaha kekangan daripada pihak bertanggungjawab di Malaysia.

“Kerajaan juga diharap tidak mewujudkan polisi yang membawa kepada kerosakan. Kita sedang cuba menutup keburukan, tetapi undang-undang pula membenarkan.

“Sebagai contoh isu pesta gay yang sepatutnya diadakan hujung bulan lalu. Namun, tekanan daripada pelbagai pihak maka ianya tidak boleh diadakan di negara ini.

“Namun jika tiada pihak menyuarakan penentangan itu, saya kira ia akan terus dilaksanakan, malah menuntut untuk dijadikan pesta tahunan negara,” katanya.

The post Bimbang Malaysia jadi seperti AS iktiraf LGBT appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian