Dulu samar-samar, kemudian gelap-gelap, sekarang terang-terang

(Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana)

PEDANG teringat Filem Komedi Terbaik di Festival Filem Asia ke-7 di Tokyo, Jepun – Nujun Pak Belalang – diterbitkan pada 1959 yang banyak sindiran tajam kepada pihak tertentu. Tetapi, tidak tahu sama ada sindiran itu berbekas atau tidak.

Pelakon Allahyarham P Ramlee dalam filem itu sebagai ahli nujum Negeri Beringin Rendang diberi teka-teki oleh Udo Omar (nama sebenar Omar Hitam), ahli nujum dari negeri Masai – “Terdapat sebuah masalah. Satu, banyak. Dua, sikit-sikit. Tiga, jarang-jarang. Empat, kadang-kadang. Apakah ia?”

Tentu ramai yang sudah menonton filem yang tak lekang dengan adengan-adengan lucu itu dan sudah mengetahui jawapannya. Penonton akan ketawa menyaksikan filem itu, namun tak ramai yang menyedari pelbagai sindiran tajam kepada pihak tertentu.

Begitu juga dalam filem Pendekar Bujang Lapuk (1959) lakonan tiga serangkai – P Ramlee, S Samsuddin dan Aziz Satar – yang membuatkan penonton tak kering gusi, tetapi banyak sindirannya. Contohnya, dalam satu dialog berbunyi:

(Suasana di sekolah dewasa)
Ramli: Eh Sudin..ni bacanya amacam bacanya?
Sudin: Alif Mim Nun Wau ..Alif tendang wau sarkeslah..!
Ajis: Apa pulak sarkees!
Ramli: Hiss. Tulis begitu punya panjang bacanya sikit sarkes?
Sudin: Tu yang panjang bunganya sajee..yang sikit tu lah sarkes! Tak reti?

Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain dalam bukunya Seniman Agung P Ramlee (1984) ada mencatatkan peristiwa di sebalik rahsia Alif Mim Nun Wau, yang antara lain mengenai dialog Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie yang ketika itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, dengan P Ramlee.

Pada tahun itu, Ghazali adalah Ahli Jawatankuasa Politik UMNO. Berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri bermula pada zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman sehingga era Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengikut buku Abdullah Hussain, Ghazali berdialog dengan P Ramlee sehingga mendedahkan apa yang dimaksudkan dengan Alif Mim Nun Wau, tetapi disebut sarkas oleh S Shamsuddin.

Tapi Pedang rasa buat masa ini semua stesen televisyen ‘dilarang’ menayangkan semula filem Pendekar Bujang Lapuk itu. Faham-fahamlah, Pilihan Raya Umum (PRU) pun semakin boleh dihidu. Lagi pula dialog filem itu menyindir parti berkenaan sebagai sarkas.

Apa kaitannya dengan ‘dulu samar-samar, kemudian gelap-gelap, sekarang terang-terang’? Sebenarnya, Pedang nak kisahkan mengenai sekolah dan guru-guru pada zaman dulu-dulu, zaman selepas zaman dulu-dulu dan zaman sekarang ini.

Pada tahun-tahun 70-an, 80-an dan awal 90-an, sekolah-sekolah memang menjadi ‘sarang’ parti politik. Dulu, kalau ada majlis yang akan dihadiri pemimpin parti politik dan atas kapasiti sebagai menteri atau timbalan menteri, sekolahlah yang menjadi tempat majlis diadakan.

Mana-mana sekolah yang mempunyai dewan yang besar akan dijadikan tempat persidangan perwakilan parti politik pemerintah. Dan, guru-guru ketika itu, walaupun memang ada pekeliling guru tidak boleh terbabit secara langsung dalam politik, tetapi kebanyakannya menganggotai parti politik berkaitan dan dilakukan secara samar-samar, tidak terdedah sangat.

Sebab, guru mesti berkecuali dalam hal politik. Tidak boleh membawa isu politik di sekolah atau mempengaruhi murid-murid dengan parti tertentu. Masa Pedang di sekolah menengah dulu, tidak tahu mana satu guru yang terbabit aktif dengan parti politik. Tidak pula diajar menyanyikan lagu parti politik.

Tahun 80-an baru tahu salah seorang guru yang mengajar Pedang telah menjadi wakil rakyat yang kemudian dilantik sebagai Ahli Exco Negeri. Rupa-rupanya dah lama beliau menyertai parti politik, cuma samar-samar sahaja. Al-Fatihah buat cikgu.

Kemudian, tiba satu peringkat di mana guru dilarang sama sekali terbabit dalam politik, tetapi secara ‘gelap-gelap’ mereka hadir juga di mesyuarat perwakilan. Manakala, sekolah pula jarang dijadikan tempat mesyuarat perwakilan, selepas banyak dewan orang ramai atau hotel didirikan, atau parti berkenaan mempunyai bangunan sendiri.

Sekarang terang-terang, sekolah, guru dan murid-murid ‘diajak’ berpolitik. Apa yang berlaku di sebuah sekolah di Putrajaya semalam, yang turut membabitkan murid dan guru, ternyata majlis politik yang berselidung di sebalik pertandingan menghias dan persembahan kelas serta dan majlis penyampaian hadiah.

Dikatakan, Kementerian Wilayah Persekutuan mensyaratkan tema pertandingan itu ialah ‘UMNO dan Kemerdekaan’ digunakan. Pedang tidak nafikan peranan utama UMNO dalam memerdekakan tanah air ini.

Tetapi, kena ingat bahawa rakyat sekarang ini bukan bodoh. Mereka boleh ‘melihat’ dua atau tiga kali ke depan, maksud dan tujuan sesuatu majlis atau kenyataan yang dibuat pemimpin. Macam majlis di sekolah itu.

Perhatikan. Tengku Adnan adalah Ahli Parlimen Putrajaya. Beliau adalah Menteri Wilayah Persekutuan dan beliau juga adalah Setiausaha Agung UMNO. Walau apa alasan diberikan, rakyat sudah melihat wujud konflik kepentingan dalam penganjuran pertandingan itu oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.

Betul, sebagaimana dikatakan sesetengah pihak, kita mesti menerapkan semangat kemerdekaan tanah air dalam diri kanak-kanak. Buku teks Sejarah juga jelas terpampang perkataan UMNO sebagai antara parti yang memperjuangkan kemerdekaan. Tiada siapapun yang sangsi. Parti lain seperti parti anti-Islam MCA dan MIC hanya ‘penumpang’ pesawat ke London sahaja.

Tetapi, tidak perlulah dibuat secara terang-terangan sehingga rakyat membuat andaian bahawa majlis itu dianjurkan semata-mata demi kepentingan UMNO. Nama sahaja anjuran kementerian.

Dan, yang terang-terangnya, Tengku Adnan seperti dilaporkan sebuah portal, ketika memberi ucapannya, secara terbuka mempelawa guru menyertai UMNO dan sebaik selesai ucapannya, laungan ‘Hidup UMNO’ oleh kira-kira 500 murid dan guru turut bergema.

Mungkin ada ibu bapa murid berkenaan yang menjadi penyokong kepada parti lain. Atau, buatlah tema ‘kami anak merdeka’ atau apa-apa yang tidak membabitkan politik. Anda buatlah penilaian sendiri. Tafsirlah sekehendak hati.

Kata Pedang: Harap-harap Alif Mim Nun Wau tidak terjadi sebagaimana dalam dialog Allahyarham S Shamsuddin.

The post Dulu samar-samar, kemudian gelap-gelap, sekarang terang-terang appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?